Misteri Cikgu Maimunah

Tuesday, February 26, 2019



Berpeluang mengajar di sekolah kawasan pendalaman merupakan impian Sarah sejak mula melangkah kaki ke institusi pendidikan perguruan. Selepas tamat pengajian, Sarah ditempatkan di sebuah sekolah rendah yang terletak di kawasan kampung. Selepas selesai semua urusan di Kuala Lumpur, Sarah bertolak ke kampung tempat dia bakal mengajar. Tanpa ditemani ibu dan bapa, Sarah cuba berdikari demi tak menyusahkan orang tuanya. Dia memandu kereta ke kampung itu yang terletak di utara tanah air. 

Perkara utama yang ingin Sarah lakukan ialah mencari rumah sewa dan berdoa supaya dia berjaya mendapat rumah sewa pada hari itu juga. Ini kerana dia bakal mengajar pada keesokan harinya. Selepas melaporkan diri di sekolah, Sarah mendapatkan bantuan seorang guru untuk pergi mencari rumah sewa. Guru yang bernama Cikgu Maimunah memberikan tunjuk arah ke sebuah rumah sewa yang letaknya kira-kira 20 minit memandu kereta dari sekolah. Cikgu Maimunah yang berkulit putih dan kala bersalam dengannya, Sarah merasakan tangan cikgu itu sungguh sejuk. Sarah gembira kerana rumah itu masih lagi kosong tanpa penyewa. Selepas membayar duit deposit kepada tuan rumah yang dikenali sebagai Nenek Kamisah, Sarah terus membersihkan rumah itu.

Malam itu, Sarah cuba lelapkan mata namun dia mulai berasa sesuatu yang kurang enak. Bulu roma tengkuknya asyik meremah dan telinganya dapat menangkap bunyi-bunyi yang menakutkan. Kemuncak ketakutan Sarah ialah apabila dia mendengar suara wanita merintih di bahagian ruang dapur rumahnya. Tak mampu bertahan lagi, Sarah terus mengambil kunci kereta lalu memecut kereta tanpa tahu hendak ke mana. Disebabkan hanya tahu lokasi sekolah, Sarah terus ke kawasan sekolah. Dia bertemu dengan Pak Ramli yang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Melihat keadaan Sarah yang dalam ketakutan, Pak Ramli cuba membantu menenangkannya. Daripada cerita Pak Ramli, Sarah dapat tahu bahawa rumah kecil yang disewanya itu memnag keras sebenarnya. Seorang lelaki yang bergelar ustaz pun tak tahan diganggu oleh suara wanita merintih saban malam.

Nenek Kamisah yang Sarah temui sebelum ini sebenarnya dah lama meninggal dunia. Manakala suara wanita yang merintih itu sebenarnya suara cucu Nenek Kamisah. Cerita itu memang telah lama tersebar di seluruh kampung. Sebagai orang lama di kampung itu, Pak Ramli mengakui kisah itu memang berlaku. Keluarga Nenek Kamisah dikatakan mengamalkan ilmu hitam dan disebabkan itulah roh mereka mengganggu sesiapa saja yang berada di kawasan kampung itu. Selepas selesai bercerita, Pak Ramli bertanya bagaimana Sarah boleh menyewa di rumah itu. Sarah menceritakan tentang Cikgu Maimumah yang mendakwa dia ada rumah sewa di kawasan itu. Pak Ramli tercengang kerana setahunya tiada cikgu yang bernama Cikgu Maimunah di sekolah tersebut.

Sehingga ke hari ini, selepas setahun mengajar di sekolah tersebut, Sarah tak mendapat jawapan siapakah gerangan Cikgu Maimunah yang berkulit putih dan tangannya yang sejuk itu. 

*Sumber cerita daripada Mingguan Wanita

#shikinrazalidotcom #bloggerterengganu #bloggersepang



5 comments

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧