Kenyataan mengenai penangguhan persekolahan sesi 2015
11:31 AM
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda
negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur
Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah
sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada
dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut
ditenggelami air akibat banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan,
saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal
dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu
bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka
seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah,
Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi
negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa
KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan
di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan
ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri
Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015
(Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari
2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir
serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat
persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir
tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan
tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan
sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam
keadaan selamat, selesa dan sempurna.
Terima kasih.
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
http://www.moe.gov.my/v/
0 lovely notes
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧