Di Sebalik Nama SRLavender Studio: Dari Starlavenderluna ke Dunia Kreatif Saya
Saturday, October 17, 2026
Assalamualaikum wbt..
Awak pernah tak terfikir macam mana sesuatu nama boleh tercipta? Kadang-kadang kita fikir punya fikir, macam-macam nama muncul dalam kepala. Ada yang bunyinya gah, ada yang nampak profesional, dan ada juga yang bila disebut, rasa macam, “Haa, yang inilah aku cari selama ni!”
Begitulah juga kisah di sebalik nama SRLavender Studio.
Sebenarnya, nama lavender bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia saya. Saya memang sukakan bunga lavender, dan minat inilah yang menjadi sebahagian daripada cerita di sebalik nama pena saya, Starlavenderluna.
Kalau awak pernah membaca jurnal saya, mungkin awak pernah terjumpa satu entri lama yang saya tulis pada tahun 2015. Dalam entri tersebut, saya pernah bercerita tentang bagaimana nama Starlavenderluna tercetus.
Nama itu bukan sekadar gabungan perkataan yang kedengaran cantik. Ada cerita dan kenangan tersendiri di sebaliknya, termasuk minat saya terhadap bunga lavender serta pengaruh siri kartun Sailormoon yang saya gemari ketika itu.
Kalau awak nak tahu cerita penuhnya, bolehlah baca entri lama saya di sini:
Siapa sangka, nama yang tercetus daripada minat peribadi ini akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti kreatif saya sehingga hari ini.
Okay, sekarang kita masuk pula cerita tentang SRLavender Studio. Kenapa pula SRLavender Studio?
Kalau awak nak tau, SR ialah singkatan nama saya sendiri, Shikin Razali, manakala Lavender pula melambangkan kecintaan saya terhadap bunga lavender. Jadi, kedua-dua unsur ini masih membawa identiti yang dekat dengan diri saya.
Cuma kali ini, saya nak gunakan nama yang lebih sesuai untuk menghimpunkan pelbagai perkara yang saya lakukan. Saya bukan sekadar menulis jurnal atau menghasilkan kandungan digital. Saya juga suka mencuba idea baru, mencipta bahan kreatif, membangunkan projek digital sendiri dan pada masa yang sama menjalankan perkhidmatan terapi urutan.
Pendek kata, macam-macam benda saya nak buat! Kadang-kadang satu idea belum habis, idea lain pula datang mengetuk pintu. Jadi, saya mula terfikir, kenapa tidak saya gabungkan semua minat dan aktiviti ini di bawah satu nama komersil?
Sampailah satu hari, saya pun bertanya kepada ChatGPT untuk mendapatkan idea nama yang sesuai. Bermacam-macam cadangan nama diberikan. Ada yang kedengaran moden, ada yang nampak eksklusif, dan ada juga yang sesuai untuk sebuah jenama kreatif. Saya baca satu demi satu, kemudian fikir semula tentang identiti yang saya mahu bawa. Akhirnya, pilihan saya jatuh kepada SRLavender Studio.
Kenapa nama ini?
Sebab saya rasa nama ini paling dekat dengan diri saya sendiri. Ada singkatan nama saya, ada unsur lavender yang saya suka, dan perkataan Studio pula memberikan ruang untuk saya mengembangkan pelbagai jenis kreativiti dan perkhidmatan.
Lagipun, saya tak mahu nama yang terlalu terikat dengan satu bidang sahaja. Hari ini saya menghasilkan kandungan digital, esok saya membangunkan projek baharu, dan pada masa yang sama saya masih boleh menjalankan perkhidmatan terapi urutan. Semua ini boleh berada di bawah satu identiti yang sama. Jadi, bolehlah dikatakan ChatGPT membantu saya mencari idea, tetapi pilihan terakhir tetap saya yang buat. Hehe!
Bagi saya, SRLavender Studio bukan sekadar nama untuk tujuan komersil. Nama ini menjadi ruang untuk saya menggabungkan beberapa peranan yang saya minati. Sebab itulah saya memilih slogan Digital. Creative. Therapy. untuk SRLavender Studio. Setiap perkataan mempunyai kaitan dengan apa yang saya lakukan dan minati.
💻 Content Creator — menghasilkan kandungan, berkongsi cerita dan menyampaikan idea melalui pelbagai platform.
🎨 Digital Creator — membangunkan produk digital, menghasilkan bahan kreatif serta mencuba projek digital menggunakan idea dan kemahiran sendiri.
🌿 Terapis Urutan — menawarkan perkhidmatan urutan dengan memberikan perhatian kepada keselesaan pelanggan.
Awak perasan tak satu lagi, setiap kali saya kongsikan poster atau visual berkaitan SRLavender Studio, mesti ada watak wanita yang muncul dalam reka bentuk tersebut?
Sebenarnya, watak wanita itu bukanlah sekadar karakter kartun yang saya reka secara rawak. Watak tersebut diinspirasikan daripada diri saya sendiri, yang saya olah menjadi watak kartun. Kiranya, kalau awak nampak watak wanita itu dalam poster saya, bolehlah dianggap itulah versi kartun diri saya. Hehe!
Kenapa saya memilih untuk menggunakan watak kartun?
Sebenarnya, cara ini lebih menarik untuk membina identiti visual SRLavender Studio. Saya boleh menampilkan diri dalam pelbagai suasana dan gaya mengikut jenis kandungan yang ingin dikongsikan, sama ada berkaitan kreativiti digital, penulisan, projek perpustakaan mahupun perkhidmatan terapi urutan.
Watak yang sama juga boleh diberikan pakaian, latar belakang dan ekspresi yang berbeza mengikut tema poster. Jadi, walaupun kandungannya berubah-ubah, masih ada satu elemen yang menghubungkan semuanya dengan identiti SRLavender Studio.
Dengan bantuan teknologi AI, saya dapat merealisasikan idea ini dengan lebih mudah. Saya boleh bereksperimen dengan pelbagai konsep visual dan mengolahnya menjadi ilustrasi kartun yang sesuai dengan gaya serta identiti jenama saya.
Pendek kata, saya tak semestinya perlu meletakkan gambar sebenar saya pada setiap poster. Cukuplah dengan watak kartun yang menjadi representasi diri saya dalam dunia kreatif ini.
Watak ini bukan sekadar hiasan poster, tetapi sebahagian daripada identiti SRLavender Studio. Di sebalik ilustrasi yang comel itu, tetap ada orang sebenar yang mencetuskan idea, menghasilkan kandungan dan mengusahakan jenama ini.
Siapa lagi kalau bukan saya sendiri!
Ada satu lagi perkara yang saya nak kongsikan. Baru-baru ini, saya ada ternampak satu watak wanita di akaun TikTok Kak Bib Official yang pada pandangan saya mempunyai rupa yang hampir sama dengan watak kartun yang saya gunakan dalam poster SRLavender Studio.
Bila tengok, terdetik juga dalam hati, eh, kenapa macam ada persamaan pula? Hehe.
Jadi, saya nak jelaskan sedikit supaya tak timbul salah faham. Watak wanita yang saya gunakan dalam poster SRLavender Studio sebenarnya memang diri saya yang sebenar. Saya menggunakan teknologi AI untuk mengolah imej menjadi watak kartun yang sesuai dengan identiti dan konsep jenama saya.
Saya juga faham bahawa apabila menggunakan AI untuk menghasilkan watak wanita dalam gaya kartun, ada kemungkinan hasilnya mempunyai persamaan dengan watak yang dihasilkan oleh orang lain. Lebih-lebih lagi apabila menggunakan gaya ilustrasi atau konsep visual yang hampir sama. Sama macam drama AI yang menjadi viral sekarang nie.
Jadi, persamaan watak itu bukan bermaksud saya meniru watak TikTok tersebut. Saya mempunyai idea dan tujuan tersendiri dalam membina identiti visual SRLavender Studio, termasuk penggunaan watak kartun sebagai representasi diri saya.
Saya menghormati kreativiti orang lain dan pada masa yang sama, saya juga sedang membina identiti kreatif saya sendiri. Bagi saya, setiap pencipta mempunyai idea, pendekatan dan perjalanan masing-masing.
Apa yang penting, saya mahu watak kartun ini menjadi sebahagian daripada identiti SRLavender Studio, bersama slogan Digital. Creative. Therapy. yang mewakili tiga bidang utama saya.
Jadi, kalau ada persamaan dari segi rupa atau gaya, saya anggap ia sebagai sesuatu yang boleh berlaku dalam dunia kreativiti AI. Saya tetap akan terus berkarya dan menghasilkan sesuatu berdasarkan idea serta identiti saya sendiri.
Walaupun ketiga-tiga bidang ini nampak berbeza, semuanya mempunyai satu persamaan, iaitu datang daripada minat, kreativiti dan usaha saya untuk membina sesuatu dengan cara tersendiri. Saya mahu SRLavender Studio menjadi identiti yang boleh berkembang bersama perjalanan saya. Tak semestinya terhad kepada apa yang saya lakukan sekarang, kerana siapa tahu, mungkin pada masa akan datang akan ada lagi projek baharu yang tercetus daripada idea-idea spontan saya.
Kalau difikirkan semula, perjalanan daripada Starlavenderluna kepada SRLavender Studio sebenarnya mempunyai kesinambungan tersendiri. Starlavenderluna membawa cerita tentang minat dan identiti peribadi saya. SRLavender Studio pula membawa identiti itu ke satu ruang yang lebih luas, iaitu dunia kreativiti, kandungan digital dan perkhidmatan yang saya usahakan.
Saya masih orang yang sama, masih seorang wanita yang bernama Shikin Razali yang sukakan bunga lavender dan suka mencuba pelbagai perkara. Cuma sekarang, saya mempunyai satu nama yang menghimpunkan semua itu dalam sebuah jenama.
Dan begitulah tercetusnya nama SRLavender Studio — Digital. Creative. Therapy.
Sebuah nama yang bermula dengan diri saya sendiri, berkembang melalui minat, dan kini menjadi sebahagian daripada perjalanan saya membina sesuatu yang bermakna. Doakan semoga perjalanan kecil ini terus berkembang dan semoga setiap idea yang saya usahakan dapat memberikan manfaat kepada orang lain juga.
Terima kasih kepada awak yang sudi membaca cerita di sebalik nama ini. Daripada Starlavenderluna, kini hadir SRLavender Studio. Nama berbeza, tetapi orang di sebaliknya tetap Shikin yang sama.
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal #SRLavenderStudio
Bila Pustakawan Mula Coding: Terhasilnya Permainan Interaktif Perpustakaan!
Thursday, October 15, 2026
Assalamualaikum wbt...
Kali ini saya nak berkongsi satu lagi projek yang baru sahaja berjaya saya siapkan. Kalau sebelum ini saya banyak bereksperimen dengan pelbagai aplikasi untuk kegunaan perpustakaan, dan juga penghasilan lagu kali ini saya mencuba sesuatu yang sedikit berbeza, iaitu menghasilkan sebuah aplikasi permainan interaktif yang saya namakan Permainan Interaktif Perpustakaan.
Seperti namanya, permainan ini bertemakan perpustakaan. Jadi, sambil bermain, pemain juga boleh menguji pengetahuan tentang dunia perpustakaan dengan cara yang lebih menyeronokkan. Tak adalah asyik membaca fakta dan menjawab soalan secara biasa sahaja. Kali ini kita belajar sambil bermain! Hehehe.
Dalam aplikasi ini, saya sediakan tiga pilihan pengembaraan yang boleh dipilih oleh pemain. Setiap pengembaraan mempunyai 20 soalan dengan bentuk permainan dan cabaran yang berbeza.
Pengembaraan Pertama - Misi Pustakawan
Pengembaraan pertama ini diinspirasikan daripada permainan kuiz seperti Kahoot! Pemain perlu menjawab soalan berkaitan perpustakaan dalam masa 10 saat bagi setiap soalan. Jadi, bukan setakat perlu tahu jawapan yang betul, tetapi kena pantas juga! Setiap jawapan yang betul akan diberikan 100 markah, manakala beberapa soalan tertentu menawarkan 200 dan 300 markah. Lagi tinggi markah, lagi mencabar soalan tersebut. Barulah terasa debaran menjadi seorang pustakawan yang sedang menjalankan misi!
Pengembaraan Kedua - Ekspedisi Kata: Rahsia Perpustakaan
Untuk pengembaraan kedua pula, saya memilih konsep permainan isi tempat kosong. Pemain perlu melengkapkan perkataan atau jawapan berdasarkan soalan yang diberikan, dengan pembayang sebagai petunjuk untuk membantu mereka. Nampak mudah, tetapi jangan terlalu yakin! Kadangkala kita tahu sesuatu perkataan itu, tetapi apabila diminta mengingatinya, tiba-tiba otak pula buat hal. Hahaha!
Pengembaraan Ketiga - Misteri Artifak Perpustakaan
Pengembaraan ketiga membawa pemain menyiasat misteri barangan yang terdapat di perpustakaan. Pemain perlu meneka nama sesuatu barang berdasarkan pembayang yang diberikan. Di sinilah pemain perlu menggunakan pengetahuan, pemerhatian dan kemahiran berfikir untuk mencari jawapan yang tepat. Macam detektif sedang menyiasat kes misteri pula jadinya!
Walaupun ketiga-tiga permainan ini mempunyai mekanisme yang berbeza, semuanya berkongsi satu matlamat, iaitu memperkenalkan perpustakaan dengan cara yang lebih interaktif, santai dan menyeronokkan.
Part yang menarik, projek kali ini juga memberi peluang kepada saya untuk bereksperimen dengan bantuan AI dalam menghasilkan aplikasi.
Untuk pengekodan awal, saya menggunakan Gemini AI bagi membantu membangunkan permainan nie. Alhamdulillah, idea asas dan fungsi permainan berjaya direalisasikan. Tapi, bila melihat hasil reka bentuk awalnya, saya rasa masih ada ruang untuk menjadikan aplikasi ini lebih menarik dari segi penampilan dan pengalaman pengguna.
BACA SINI JUGA EH, LAGU SAYA DAH JADI VERSI JEPUN PULA!
Biasalah, bila kita dah ada idea dalam kepala, mestilah kita nak hasil pada akhirnya kelihatan menarik juga, kan? Bukan sekadar boleh dimainkan, tetapi biarlah pemain rasa teruja sebaik sahaja membuka aplikasi tersebut. Hehehe.
Jadi, saya mintak bantuan ChatGPT pula untuk memperkemaskan reka bentuk antaramuka aplikasi, khususnya pada halaman utama yang menggunakan konsep visual berbentuk video. Saya turut memberikan perhatian kepada penggunaan muzik latar dan elemen visual supaya suasana permainan terasa lebih hidup dan mampu menarik minat pemain untuk meneroka setiap pengembaraan yang disediakan.
Lepas selesai mengemas dan mencantikkan kod aplikasi, saya masukkan pula semuanya ke dalam Google Apps Script supaya permainan ini boleh dijalankan secara online.
Macam biasalah, sebelum boleh kata siap sepenuhnya, kena uji dulu setiap permainan untuk pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Maklumlah, kalau setakat nampak cantik tetapi tak boleh main, tak jadi juga kan? Hahaha! Bagi saya, reka bentuk bukan sekadar mencantikkan paparan. Ia juga memainkan peranan dalam mewujudkan pengalaman yang menyeronokkan, terutama apabila aplikasi ini dibangunkan untuk aktiviti berkaitan perpustakaan.
Alhamdulillah, akhirnya siap juga Permainan Interaktif Perpustakaan ini. Seronok sebenarnya bila dapat realisasikan idea sendiri dengan bantuan Gemini AI dan ChatGPT. Daripada sekadar idea dalam kepala, akhirnya menjadi sebuah aplikasi permainan yang boleh dicuba oleh orang lain juga. Memandangkan saya sememangnya dah biasa bermain dengan coding sebab tukar baju blog (hihi angkat tangan siapa yang selalu tukar baju pada blog), jadi tak susah sangat nak bermain dengan coding.. Tapi biasalah ada masa semuanya berjalan lancar, ada masa kena menyemak semula kod dan mencuba beberapa kali. Ada juga bergaduh dengan ChatGPT sebab asyik betulkan coding, hahaha! Tapi itulah sebahagian daripada proses pembelajaran. Yang penting, jangan cepat mengalah! Fighto.. Fighto..
Saya berharap Permainan Interaktif Perpustakaan ini dapat menjadi salah satu alternatif untuk mendekatkan pengguna dengan dunia perpustakaan melalui pendekatan yang lebih moden dan kreatif. Saya juga mengharapkan aplikasi ini dapat dimanfaatkan dalam aktiviti perpustakaan, khususnya program yang melibatkan kuiz, permainan pendidikan dan aktiviti bersama pengguna.
Perpustakaan bukan hanya tempat untuk membaca buku, mencari maklumat atau membuat rujukan. Dengan sedikit kreativiti, perpustakaan juga boleh menjadi ruang untuk bermain, meneroka ilmu, menguji pengetahuan dan belajar sesuatu yang baharu.
Sebenarnya, kepuasan menghasilkan aplikasi sendiri bukan semata-mata kerana berjaya menyiapkan pengekodan, tetapi apabila idea yang pada mulanya hanya bermain dalam fikiran akhirnya menjadi sesuatu yang boleh digunakan.
Daripada idea, menjadi aplikasi. Daripada permainan, menjadi pengalaman pembelajaran. Nampaknya, pengembaraan saya dengan dunia pengekodan masih belum berakhir. Selagi ada idea dan rasa ingin mencuba, selagi itulah saya akan terus bereksperimen dengan pelbagai projek kreatif untuk perpustakaan.
Siapa tahu, selepas ini mungkin akan ada lagi aplikasi baru yang bakal muncul? Kita tunggu dan lihat yea... Hehehe!
Jadi, kepada awak semua yang singgah membaca entri kali ini, apa kata kita meriahkan lagi dunia perpustakaan dengan mencuba permainan yang saya hasilkan ini? Hehehe!
Saya dah sediakan tiga pengembaraan menarik untuk awak pilih, iaitu Misi Pustakawan, Ekspedisi Kata: Rahsia Perpustakaan dan Misteri Artifak Perpustakaan. Pilihlah mana-mana satu yang menarik perhatian awak, ataupun kalau berani, cuba habiskan ketiga-tiganya sekali! Tengok sejauh mana pengetahuan awak tentang dunia perpustakaan. Siapa tahu, awak rupanya memang berbakat menjadi detektif perpustakaan!
Pautan permainan saya sertakan di bawah ini. Jemputlah klik, cuba bermain dan berseronok sambil menguji minda. Selepas bermain, jangan lupa singgah semula ke ruangan komen jurnal ini untuk berkongsi pengalaman dan pendapat awak, yea! Saya nak tahu permainan mana yang paling awak suka, soalan mana yang paling mencabar dan kalau ada cadangan untuk penambahbaikan, bolehlah kongsikan sekali. Tak perlu segan-segan, komen jea. Saya terima dengan hati terbuka sebab maklum balas awak semua boleh membantu saya menjadikan permainan ini lebih menarik pada masa akan datang.
![]() |
| [ MULAKAN PENGEMBARAAN ] |
Selamat mencuba, selamat bermain dan semoga berjaya menyelesaikan semua misi! Jangan lupa, dalam dunia perpustakaan, ilmu bukan sekadar untuk dibaca, tetapi boleh juga diterokai sambil bermain.
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Assalamualaikum wbt...
Saya rasalah yang bulan nie memang bulan buat segmen la.. hihi.. Kali nie saya join segmen daripada rakan blogger yang baru saya kenali iaitu Sis Sharhanah..
Sama seperti segmen yang lain, syarat untuk join segmen amat mudah, awak klik jea pada banner di atas dan ianya akan terus di link kan ke entri penyertaan.
Tarikh tutup penyertaan segmen nie adalah pada 15 November 2026, jadi awak semua masih ada masa lagi untuk join.. Jom sama-sama kita support dengan join beramai-ramai dan sambil-sambil tue kita dapat mengeratkan silaturahmi antara kita..
Best of luck, folks...
Assalamualaikum wbt,
Bulan nie rasanya ramai juga rakan blogger yang buat segmen.. Kali nie, saya nak join segmen daripada blogger Nieyla Nadia. Nieyla sedang mengemas kini bloglist, jadi dia sedang mencari calon-calon untuk dimasukkan dalam bloglist tersebut...
Terima kasih Nieyla kerana menjemput akak untuk join segmen awak...
Kebiasaan syarat segmen amat mudah untuk diikuti.. Jom kita sama-sama meriahkan suasana, nak join segmen nie macam biasa, awak klik pada banner di atas dan ianya akan di link kan terus ke link segmen tue..
Kebiasaan syarat segmen amat mudah untuk diikuti.. Jom kita sama-sama meriahkan suasana, nak join segmen nie macam biasa, awak klik pada banner di atas dan ianya akan di link kan terus ke link segmen tue..
Tarikh tutup segmen adalah pada 18 Oktober 2026, jadi masih ada masa lagi untuk join..
Best of luck, folks...
Assalamualaikum wbt...
Kalau sebelum ini saya dah bawa lagu “Di Dalam Kesunyian / Inside the Silence” berjalan dari Bahasa Melayu ke English, kemudian singgah negara Jepun… kali ini lagu tersebut terus sambung perjalanan lagi.
Kali ini saya keluarkan dua versi bahasa terus — Korea dan Mandarin!
Nampaknya lagu saya ni lebih rajin travel daripada tuan punya lagu. Saya pula masih setia duduk depan komputer. Tapi sebenarnya, saya suka mencuba bagaimana satu lirik yang sama boleh membawa rasa yang berbeza apabila diterjemahkan ke bahasa lain.
Dan untuk kedua-dua versi kali ini, saya kembali menggunakan Suno AI kerana saya rasa hasilnya lebih dekat dengan lirik asal yang saya tulis. Daripada satu cerita tentang kesunyian, luka, harapan dan kepercayaan bahawa Tuhan masih ada… kini cerita itu sudah ada beberapa "versi bahasa".
Saya sendiri tak tahu selepas ini lagu ini akan "terbang" ke bahasa mana pula.
Mungkin Arab?
Mungkin Sepanyol?
Yang pasti, perjalanan “Di Dalam Kesunyian” masih belum tamat.
Yang menariknya, setiap kali saya tukarkan bahasa, saya dapat rasa sesuatu yang sedikit berbeza walaupun cerita dan mesejnya masih sama. Dan mungkin itulah yang membuatkan saya seronok bereksperimen dengan lagu ini.
Saya bukan seorang penyanyi. Saya juga bukan seorang komposer yang profesional. Saya cuma seorang yang suka menulis, suka mencuba benda baharu dan kadang-kadang terlebih rajin tekan butang “Generate”. Tetapi daripada satu idea kecil, akhirnya lahir beberapa versi lagu yang mempunyai identiti masing-masing.
Apa pun, saya suka proses ini. Sebab bagi saya, teknologi AI bukan sekadar tentang menghasilkan sesuatu dengan cepat. Ia juga memberi peluang untuk saya melihat semula tulisan saya dari sudut yang berbeza.
Lirik yang sama.
Cerita yang sama.
Tetapi apabila dibawa ke bahasa yang berbeza... Rasanya boleh berubah. Dan mungkin itu yang paling menarik tentang muzik. Kadang-kadang kita tak perlu mengubah cerita. Kita cuma perlu mengubah cara cerita itu disampaikan. Dan untuk lagu “Di Dalam Kesunyian / Inside the Silence”, perjalanan kecilnya masih diteruskan...
Untuk versi Korea, saya cuba kekalkan suasana lagu yang agak sunyi dan introspektif. Bahasa Korea memang ada satu rasa yang tersendiri bila digunakan dalam lagu yang berkisar tentang kesunyian, luka dan harapan. Bila liriknya dialihkan ke bahasa Korea, tiba-tiba lagu yang sama terasa macam ada suasana drama Korea pula.
Tinggal tunggu watak utama berdiri tepi tingkap sambil hujan turun je. Tapi sebenarnya, saya suka bagaimana beberapa bahagian lirik itu kedengaran selepas diterjemahkan. Rasa asalnya masih ada, cuma cara penyampaiannya berubah.
Kemudian saya buat pula versi Mandarin. Yang ini pun menarik kerana saya mula nampak lagu tersebut dalam suasana yang berbeza. Saya tidak semestinya mahu menjadikannya lagu ballad sepenuhnya. Saya lebih suka membayangkan versi Mandarin ini dalam gaya dream pop / cinematic pop yang sedikit dreamy, tenang dan misteri. Macam sedang berjalan seorang diri pada waktu malam sambil dengar lagu dengan earphone. Padahal sebenarnya duduk depan komputer je.
Itulah magiknya muzik AI ni. Belum keluar rumah pun dah boleh pergi Korea, Jepun dan China.
Untuk kedua-dua versi ini, saya kembali menggunakan Suno AI. Sebelum ini saya pernah mencuba beberapa AI tools lain untuk menghasilkan versi lagu yang berbeza. Tetapi untuk versi Korea dan Mandarin kali ini, saya rasa Suno AI lebih dekat dengan lirik asal yang saya tulis. Ini penting bagi saya.
Sebab lirik lagu ini asalnya datang daripada tulisan dan perasaan yang saya sendiri bina. Jadi walaupun saya menggunakan AI untuk membantu menghasilkan muzik dan vokal, saya masih mahu hasil akhirnya terasa seperti lagu saya, bukan sekadar lagu yang kebetulan menggunakan lirik saya.
Saya cuba beberapa gaya dan akhirnya saya lebih suka apabila susunan muziknya masih memberikan ruang kepada lirik untuk "bercakap".
Terutamanya bahagian tentang...
kesunyian,
rasa penat,
mencari cahaya,
bertanya sama ada masih ada ruang untuk bahagia...
dan akhirnya kembali kepada satu perkara yang paling penting — masih percaya bahawa Tuhan itu ada.
Kalau awak nak dengar sendiri bagaimana lagu yang sama bunyinya apabila dibawa ke dua bahasa yang berbeza, saya dah upload kedua-dua versi ini di YouTube.
🎬 Tonton versi Korea di YouTube:
🎬 Tonton versi Mandarin di YouTube:
Kalau awak dah dengar kesemua lagu dalam pelbagai versi bahasa, saya nak bertanya…
Bahasa mana yang paling kena dengan jiwa awak?
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Korea, Bahasa Mandarin atau Bahasa Jepun?
Apa pun pilihan awak, saya tetap suka kesemua bahasa sebab setiap versi membawa warna dan rasa yang sedikit berbeza.
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Assalamualaikum wbt...
Wahh, dah jadi macam kembali di zaman kegemilangan dunia segmen... Kali nie rakan blogger saya yang dah lama kenal Beeha Azman pula yang anjurkan segmen...
Jom kita sama-sama join dan support segmen beliau..
Tarikh tutup segmen nie adalah pada 31 Oktober 2026, masih ada banyak masa lagi untuk join... Syarat yang diberikan pun cukup mudah dan inilah syaratnya...
1. Follow blog ini Beeha Azman.
2. Buat satu entri ringkas bertajuk: "Saya Join Segmen Mencari Blogger Aktif di Beeha Azman".
3. Tepek Banner Segmen di atas ke dalam entri anda dan link-kan ke post link ini (Beeha Azman).
4. Tag 2 rakan blogger anda yang masih aktif untuk join sekali segmen ini.
5. Dah siap? Tinggalkan nama dan URL entri penyertaan anda di ruangan komen link ini (Beeha Azman)
Okey, kalau ikutkan saya nak tag semua nama rakan-rakan blogger saya tapi bagi memenuhi syarat di atas, saya nak tag nama Adnil Linda dan Sofie Adie untuk join segmen nie...
Best of luck, folks...
Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah… akhirnya sampai juga ke program perpustakaan yang terakhir untuk tahun 2026. Kalau ikutkan perancangan asal, sebenarnya masih ada dua lagi program perpustakaan yang sepatutnya dijalankan sebelum kita melabuhkan tirai tahun ini.
Dua program yang sudah dirancang.
Dua program yang sudah ada dalam senarai.
Dua program yang sebenarnya saya memang teruja nak jalankan.
Tetapi, perancangan tetap perancangan… Disebabkan langkah-langkah penjimatan, kedua-dua program tersebut terpaksa digugurkan daripada perancangan tahun ini. Sedih juga sebenarnya.
Sebab bila kita sudah mula fikir tentang sesuatu program, macam-macam idea mula datang. Nak buat aktiviti apa, nak libatkan peserta macam mana, nak hias ruang perpustakaan, nak sediakan bahan dan sebagainya. Tiba-tiba bos cakap…
“Okay Shikin, program selebihnya tu tak dapat dijalankan pada tahun ini.”
Terus otak yang tengah ligat merancang tadi pun duduk diam-diam dalam sudut. Tapi begitulah kehidupan seorang pustakawan. Ada masa kita boleh buat seperti yang dirancang, dan ada masa kita perlu belajar untuk menerima bahawa tidak semua perkara boleh dilaksanakan pada waktunya. Jadi, dua program tersebut kita simpan dahulu. Bukan dibuang terus. Simpan dalam fail… mana tahu tahun depan boleh keluarkan balik.
Sebagai program terakhir untuk tahun ini, kami sempat menjayakan Program Merdeka@Bomba Tahun 2026 pada 26 Ogos 2026 yang lalu bertempat di Perpustakaan Aras G, Ibu Pejabat JBPM. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti tayangan video dokumentari, kuiz atas talian, permainan teka silang kata, nyanyian lagu patriotik, cabutan bertuah dan petang tue ada tayangan filem Sarjan Hassan.
Selain daripada tue, kami juga ada anjurkan Kuiz Kemerdekaan Secara Dalam Talian 2026 dan Teka Kemerdekaan – Kotak Misteri yang berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos 2026. Memang meriah juga suasana perpustakaan ketika itu.
![]() |
| Antara urusetia yang terlibat.. |
![]() |
| Satu-satunya urusetia lelaki yang ada.. Yang lain tak dapat nak hadir disebabkan kerja hakiki... |
![]() |
| Barisan urusetia yang sedang membalut hadiah |
Tapi kalau nak cerita bahagian yang paling best dalam program kali nie, mestilah saya kena cerita pasal Kuiz Kemerdekaan! Sebenarnya ada dua jenis kuiz yang kami jalankan.
Yang pertama ialah Kuiz Kemerdekaan Secara Dalam Talian. Kuiz nie terbuka kepada semua warga JBPM di seluruh Malaysia. Kuiz mula dibuka pada 24 Ogos, jam 8.00 pagi dan ditutup pada 28 Ogos, jam 5.00 petang. Kuiz nie lebih kurang sama konsep macam kuiz Kahoot tapi kali nie saya hasilkan sendiri aplikasi kuiz tersebut dengan menggunakan Google Script.. Mmm macam yang saya hasilkan Permainan Bingo Online tue, jadi ianya sama cara yang saya buat untuk kuiz nie.. Nanti saya share dengan awak untuk permainan kuiz nie yea..
Nak tahu satu benda yang buat saya tersenyum masa tengok rekod penyertaan? Ada seorang peserta yang masuk seawal 8:00:55 pagi! Beliau merupakan seorang Penguasa Bomba daripada JBPM Negeri Sarawak. Baru 55 saat kuiz dibuka, terus masuk! Hihi… memang nampak sangat semangat nak menjawab kuiz. Tak sempat nak minum kopi dulu agaknya.
Untuk kuiz nie, peserta perlu menjawab sebanyak 40 soalan dalam dua pusingan. Kiranya setiap pusingan mempunyai 20 soalan dan bila masuk pusingan kedua, soalan yang berlainan akan keluar. Ini bermakna mereka takkan dapat soalan yang sama untuk pusingan kedua. Markah pula berbeza-beza mengikut soalan. Masa pula diberikan selama 10 saat untuk setiap soalan.
Ada 15 soalan bernilai 100 markah,
3 soalan bernilai 200 markah,
dan 2 soalan bernilai 300 markah.
Jadi, memang kena ada sedikit ilmu, sedikit fokus dan… sedikit nasib! Sebab kalau dapat soalan 300 markah dan betul jawapannya tu, boleh tersenyum sampai telinga. Tapi kalau tak dapat? Kita senyum sajalah tengok orang lain dapat. Hihi. Soalan-soalan pula semuanya berkaitan dengan sejarah dan kemerdekaan Malaysia. Ada yang nampak macam senang, tapi bila baca soalan dua tiga kali… tiba-tiba otak buat mesyuarat tergempar.
Satu lagi kuiz yang kami buat ialah Kuiz Kemerdekaan: Teka 10 Barang Misteri. Yang nie memang lain macam sikit.Sebab barang yang perlu diteka tu berada dalam kotak yang sudah dibungkus dengan pembalut hadiah. Jadi peserta memang tak boleh mengintai, tak boleh goncang-goncang kuat sangat dan paling penting… tak boleh buka kotak!
Barang-barang tersebut pula mempunyai kaitan dengan Malaysia. Saya sediakan beberapa pembayang dalam poster untuk membantu peserta membuat tekaan.
Tapi biasalah…
Nama pun barang misteri. Kadang-kadang pembayang yang kita rasa dah cukup jelas, peserta boleh pergi fikir benda lain pula. Peserta untuk kuiz nie pula terdiri daripada warga Ibu Pejabat JBPM dan warga JBPM Putrajaya. Mereka dibenarkan membuat dua kali percubaan, dan tempoh tarikh menjawab juga sama seperti Kuiz Kemerdekaan Dalam Talian tadi. Cumanya takdelah masa yang ditetapkan.. Paling utama mereka tak dibenarkan untuk mencari jawapan dengan menggunakan sebarang teknologi AI.. Sebenarnya kalaupun ada cuba mencari jawapan melalui AI, jawapan diberikan kebanyakkannya salah...
Sepanjang tempoh kuiz tu, saya tengok saja macam-macam tekaan yang masuk.
Ada yang nampak macam yakin.
Ada yang macam separuh yakin.
Ada yang jawab dengan penuh keyakinan…
Tapi saya yang baca jawapan tu pula yang tergaru-garu kepala... Bila tempoh kuiz dah tamat, tibalah masa untuk saya semak semua jawapan.Dan masa inilah saya rasa nak tergelak sorang-sorang.
Ada jawapan peserta yang memang betul.
Ada yang hampir betul.
Ada yang boleh diterima akal.
Dan ada juga yang…
“Eh??? Macam mana boleh sampai kepada jawapan nie?”
Tapi saya tak boleh nak marah sebab…
nama pun teka-teki!
Kalau semua orang boleh jawab dengan tepat, bukan barang misteri namanya. Hihi. Yang paling menyeronokkan bila saya hebahkan nama pemenang berserta jawapan sebenar kuiz. Terus keluar komen-komen daripada peserta.
“Tak adil!”
“Soalan susah!”
“Thrill sangat soalan!”
“Macam mana nak tahu jawapan nie?”
Haaa… macam-macam bunyi marah-marah manja keluar. Saya baca pun sambil senyum. Dalam hati saya cakap,
“Eh, ada je soalan yang saya pernah tanya sebelum nie…”
Cuma mungkin kali nie bila soalan tu datang semula dalam bentuk yang berbeza, terus otak masing-masing buat-buat lupa. Itulah seronoknya buat kuiz. Bukan semata-mata nak mencari siapa yang menang, tapi sepanjang proses tu kita boleh belajar, mengingat kembali sejarah Malaysia dan yang paling penting… bergelak bersama!
Dan bagi saya, bahagian kuiz inilah antara kenangan yang paling saya suka sepanjang program kali nie. Sebab di sebalik soalan, markah, jawapan pelik dan peserta yang “marah-marah manja” tu, sebenarnya ada satu benda yang saya nampak…
Warga JBPM memang sporting!
Kalau tahun depan ada lagi kuiz macam nie, saya tak tahu siapa yang lebih nervous… Peserta yang nak menjawab, atau saya yang nak membaca jawapan mereka.
Bila semua jawapan dah selesai disemak, markah dah dikira dan segala jawapan pelik-pelik tadi dah saya hadam… tibalah masa untuk umumkan nama-nama pemenang!
Tapi kali nie ada satu perkara yang paling kelakar berlaku.
Salah seorang pemenang ialah…
orang yang sama juga yang selalu menang setiap kali kami buat program! Haaa… muka dia tu memang dah macam “muka wajib ada dalam senarai pemenang”.
Setiap kali ada program, mesti nama dia naik.
Ada program lain, nama dia naik.
Ada kuiz, nama dia naik.
Ada pertandingan, nama dia naik.
Ada cabutan bertuah pun, nama dia naik.
Kali nie pun…
nama dia naik lagi!
Sampai ada rakan-rakan lain yang dah mula buat “petisyen” supaya beliau disqualified. Hahaha! Tapi jangan risau… petisyen tersebut hanyalah gurauan dan usikan manja daripada rakan-rakan yang mungkin sudah mula rasa,
“Takkan dia lagi???!”
Memang kelakar bila tengok reaksi kawan-kawan. Bukan sebab tak suka dia menang, tetapi sebab terlalu kerap sangat nama dia muncul sebagai pemenang! Macam dah boleh agak dah…
“Eh, kalau nama dia ada dalam senarai peserta, siaplah. Nanti dia menang.”
Tapi nak buat macam mana? Kalau memang dia jawab dengan betul, dapat markah yang tinggi dan memang layak menang, kita nak buat apa? Kena terima dengan hati terbuka.
Lagipun orang kata…
Rezeki tak pernah salah alamat.
Mungkin memang rezeki dia setiap kali program kami berlangsung. Dan saya sendiri pun sebenarnya suka tengok perkara macam nie. Sebab walaupun ada yang mengusik, semua tu sebenarnya berlaku dalam suasana yang santai dan penuh gurauan. Tak ada yang ambil hati. Malah saya rasa, usikan macam nie yang membuatkan suasana program menjadi lebih meriah. Sampai satu tahap saya terfikir…
Lepas nie kalau nak buat pertandingan, kena buat kategori khas: “Anugerah Peserta Yang Selalu Menang”.
Tapi masalahnya… Kalau kategori tu pun dibuat, saya rasa dia akan menang juga!
Jadi, kepada pemenang yang seorang nie…
Tahniah diucapkan!
Teruskanlah perjuangan sebagai juara tetap tidak rasmi program perpustakaan. Dan kepada rakan-rakan yang membuat petisyen tu…
Maaf ya, petisyen anda tidak berjaya. hihihi
Sebab selagi kemenangan itu diperoleh dengan usaha dan jawapan yang betul, kita raikan sahaja. Lagipun…
rezeki memang tak pernah salah alamat.
Dan siapa tahu, mungkin selepas ini akan ada pula peserta lain yang berjaya memecahkan “sumpahan juara tetap” tersebut.
Atau mungkin…
muka yang sama lagi akan muncul. Haaa… kita tunggu dan lihat.
![]() |
| Yang nie Majlis Penyampaian Hadiah untuk pemenang Kuiz Kemerdekaan Secara Dalam Talian dan Kuiz Kemerdekaan : Teka 10 Barang Misteri |
![]() |
| Peserta program pada hari kejadian.. |
![]() |
| Barisan urusetia dan peserta program... |
![]() |
| Member yang sorang nie memang sporting dan dia juga salah seorang tukang ambil gambar... |
![]() |
| Tema kami adalah pakaian tradisi Malaysia.. Saya sebenarnya nak pakai ala-ala Ulek Mayang tapi macam tak jadi la pula.. Bos saya pula tema Sudin dalam filem Bujang Lapok... |
![]() |
| Antara cameraman kami yang paling sporting, sekarang nie dia dah bertukar keluar ke balai bomba.. sedih jugak la sebab dialah penghibur@tukang lawak kami di opis nie... |
![]() |
| Ketua Penolong Pengarah (Pentadbiran) sedang bagi ucapan alu-aluan.. |
![]() |
| Abang bomba nie dinobatkan sebagai Raja Program Paling Sempoi... |
![]() |
| Akak nie pula dinobatkan sebagai Ratu Program Paling Sempoi.. |
![]() |
| Acara nyanyian beramai-ramai, lagu tema kemerdekaan.. |
![]() |
| Pemenang Kuiz dan salah sorang yang selalu jadi pemenang ada di sini.. hihi |
Dan untuk mengabadikan sedikit kenangan program ini, saya baru sahaja upload satu video di YouTube. Kalau gambar boleh simpan kenangan dalam bentuk sekeping gambar, video pula boleh simpan suasana, gelak tawa dan momen-momen kecil yang mungkin beberapa tahun lagi kita akan tengok semula sambil tersenyum.
Jadi saya fikir…
Biarlah program ini ada kenangannya sendiri dalam bentuk video. Boleh tengok semula nanti bila dah rindu suasana program perpustakaan.
Dengan selesainya program Merdeka@Bomba ini, maka secara rasminya bolehlah saya katakan… Tutup buku program perpustakaan untuk tahun 2026.
Sedih?
Sedikit.
Terkilan?
Ada.
Sebab sebenarnya masih ada dua program yang belum sempat kita laksanakan. Tapi saya tak mahu mengakhiri tahun ini dengan rasa kecewa.
Saya lebih suka melihatnya sebagai “bukan tak boleh buat… cuma belum sampai masa.”
Insya-Allah, tahun depan saya akan cuba merancang lebih banyak program perpustakaan, dengan aktiviti yang lebih menarik dan sesuai dengan keadaan semasa. Dan mana tahu…
Dua program yang tertangguh tahun ini tiba-tiba muncul semula dalam kalendar 2027. Kalau itu berlaku, jangan terkejut kalau saya tersenyum seorang diri depan komputer.
Terima kasih kepada semua warga JBPM yang selama ini memberikan sokongan dan menyertai aktiviti-aktiviti perpustakaan. Tanpa peserta, memang susah juga nak hidupkan program. Kalau saya buat kuiz seorang diri dengan buku-buku…
Buku pula tak reti nak angkat tangan jawab soalan. Jadi, terima kasih pada semua warga kerana sentiasa memeriahkan perpustakaan.
Untuk tahun 2026…
kita tutup buku di halaman ini. Bukan selamat tinggal.
Cuma…
“Jumpa lagi di halaman seterusnya.”
Semoga tahun 2027 nanti, lebih banyak halaman dapat kita tulis bersama. Dan kalau nak tengok kenangan program ini dalam bentuk video, bolehlah singgah ke YouTube perpustakaan.
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Subscribe to:
Posts (Atom)
.png)

.png)























Social Icons