Di sebuah pulau

Monday, April 03, 2017


Assalamualaikum wbt.. 
Maaf dalam minggu nie saya sibuk dengan pengauditan semula program 5S jabatan, jadi malam nie saya nak kongsi sikit ilmu yang kita dapat manfaatkan sama-sama...


Masuk rumah. Semuanya senyap sunyi.
Suami tak bercakap. Isteri tak bercakap. 

Apabila isteri mahu bercakap, suami sudah keluar rumah ‘ngeteh’ bersama kawan-kawan.

Apabila suami mahu bercakap, isteri sudah tidur di bilik keletihan. 

Anak-anak? Disuruh buat kerja rumah. Tiada siapa meneman. 

Akhirnya buku ditolak ke tepi, layan Insta di iPhone 7 plus lebih menarik. 
Dari mana belajar ‘duckface’? Tengok gambar Insta kawan-kawan.

Abah duduk ‘pulau’ lain.
Mama hidup ‘pulau’ lain.
Anak-anak terdampar ‘pulau’ lain.
Masing-masing ada ‘pulau’ sendiri.

Katanya kita keluarga?

Suami ada masalah, tak terasa nak berbincang dengan isteri.

Isteri ada masalah, tercari-cari dengan siapa mahu dikongsi.

Anak ada masalah, terasa hidup sebagai anak tiri. 
Hidup sendiri-sendiri.

Keluarga bahagia? Jauh. Lebih jauh dari Kuala Lumpur ke Miri.

Buka surah At-Taubah. 

Kaab bin Malik dan beberapa orang sahabat Nabi dipulaukan kerana tidak turut serta dalam Perang Tabuk. 

Betapa mereka hidup dalam resah gelisah. 

Pulau bukan perkara kecil. Itu hukuman ‘paling kejam’ untuk manusia.

Jika penjara. Orang sudah terkurung. Memang tiada siapa lagi dapat dilihat dari dalamnya.

‘Pulau’ lebih sadis. Lebih dari penjara. 

Kita nampak manusia lalu lalang di hadapan kita, tetapi tidak ada seorang pun mahu membuka mulut memulakan bicara. 
Mereka yang memandang, terus memaling muka. 
Nampak kita bergerak ke arah mereka, satu saat lagi mereka lesap hilang tiada.

Kita ada, tapi tidak wujud bagi mereka.
Itulah ‘Pulau’.

Betapa Allah rekodkan dalam Quran. Perasaan Kaab bin Malik.

Walaupun dunia ini sangat luas. Tetapi semuanya terasa sangat sempit menyesakkan jiwa. 
Apabila mereka dipulau manusia.

Dan segelintir kita?
Sengaja mencipta ‘pulau’ sendiri dalam rumah.

Bayangkan perasaan isteri yang tidak dapat bercakap walau sepatah kata dengan suami dalam satu hari.

Pergi ke dapur, hanya dia dan kuali.
Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan TV.
Pergi ke bilik, hanya dia dan anak-anak.

Mencari suami. Di mana suami.

Bayangkan sesaknya dada seorang suami yang perlukan srikandi untuk ‘menyelimuti’.

Pergi ke dapur, hanya dia dan maggi.
Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan kucing parsi.
Pergi ke bilik, hanya dia dan Samsung Galaxy.

Mencari isteri. Di mana isteri.

Bayangkan anak-anak yang perlukan mama dan abah untuk ceritakan kehidupan sekolah sepanjang hari.

Pergi ke bilik, dari dalam berkunci.
Pergi ke ruang tamu, kosong sunyi.
Pergi ke dapur, hanya ada makanan bawah tudung saji.

Abah mama mana?

Kita ada seluas dunia dan seisinya untuk menikmati hidup, tetapi ada yang memilih untuk tinggal di ‘pulau’ sendiri-sendiri.
Rugi, kan...

Image result for shikin razali

8 comments

  1. Terima Kasih..perkongsian dan peringatan terbaik Shikin..bila kita tengok diri kita kita pun kekdg mcm tu walau mungkin tak separah itu..tapi tu la teknologi masakini semakin buat kita memulaukan diri sendiri...

    ReplyDelete
  2. baru terbaca kisah ni semalam..sedihkan akak..tapi itu la realiti kehidupan skg

    ReplyDelete
  3. Realiti zaman skrg. Kena pandai manage masa bersama keluarga. Kalau rasa terlebih hadap hp tu kena bawa2 sedar sendiri. 😅

    ReplyDelete
  4. Ingatkan pulau betul2... hehe... cerita yang bagus... banyak pengajaran... kena buang pulau-pulau tu... agar semua duduk satu pulau je...

    ReplyDelete
  5. memula baca, ingatkan pi bercuti kat pulau. rupanya, sebuah kisah yang ada pengajaran mendalam. moga kita terhindar dari kehidupan yang nafsi-nafsi, ameeen :)

    ReplyDelete
  6. deep.. realiti skrg, masing2 bina pulau, bina phadang walau tinggal sbumbung

    ReplyDelete
  7. Allah.. Terima kasih atas peringatan ini Shikin.. sama-sama kita berusaha agar tiada "pulau" dalam rumah kita.. Aamiin..

    ReplyDelete
  8. Peringatan yang baik... Mula baca ingat shikin p bercuti.. hehe.. Ada makna disebalik cerita..

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧