7 tips untuk menjadi ahli sedekah

3:51 PM


Assalamualaikum wbt..
Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة‎) yang bermaksud benar. Makna syara' "sedekah" pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Jadi apabila merujuk keimanan mahupun keyakinan janji kepada Allah S.W.T., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian iaitu menginfakkan harta di jalan Allah S.W.T. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, maupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.

Makna sedekah memang sering menunjukkan makna memberikan harta untuk hal tertentu di jalan Allah S.W.T , sebagaimana yang terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an, :-

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir." Surah Al-Baqarah : ayat 264[1]

Jadi, bagaimana caranya untuk melatih diri kita menjadi ahli sedekah..? 

1. Niatkan dalam hati setiap pagi ketika bangun dari tidur, 'saya mahu bersedekah'. Ini sesuai dengan ajaran agama, kerana Nabi Muhammad SAW ada menyatakan : "Setiap amalan atau pekerjaan itu adalah berdasarkan niat." (Hadis sahih Muttafaqun 'Alaih). Apabila sudah ada niat, akan mudahlah kita melaksanakannya. Tanpa niat sedari awal, minda dan hati kita akan menjadi leka untuk bersedekah.

2. Lakukan sedekah walaupun hanya bermula dengan jumlah wang yang kecil. Ada orang merasakan jumlah sepuluh sen kecil ataupun RM1 itu kecil? Tetapi yakin dan percayalah, bagi mereka yang tiada atau miskin, jumlah itu besar nilainya. Maka, mulailah bersedekah walaupun dengan jumlah yang bagi kita tidak masuk akal itu. Pesan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW : "Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara : Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi kafir yang melalaikan diri kamu semua, ataupun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, ataupun kedatangan pengaruh dajjal yang ia adalah seburuk-buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari kiamat padahal hari kiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya." (Riwayat Imam Tarmizi)

3. Letakkan tabung sedekah di rumah kita di tempat terbuka dan namakannya dengan nama yang istimewa, misalnya 'Tabungan Syurga'. Kita ini memang manusia yang bersifat pelupa (juga sering buat-buat lupa), maka usahakanlah agar pintu-pintu untuk bersedeka itu sentiasa wujud di depan mata. Kemudian, letakkan 'Tabungan Syurga' itu di pintu atau di laluan utama. Apabila sudah di depan mata, maka masukkanlah walau RM1 sehari, kemudian setelah genap sebulan atau setahun, keluarkanlah dan berikanlah ia kepada pihak yang memerlukan. Percayalah, kita akan merasai 'keberkatannya'.

4. Sentiasa menyediakan wang kecil RM1 di dalam saku baju atau seluar. Selalunya, apabila kita bermusafir dan singgah di mana-mana masjid untuk mendirikan solat, maka sudah tersedia sebuah peti derma. Masukkanlah wang berkenaan dengan segera tanpa perlu lagi susah-susah mencarinya. Ingat, wang yang berada di saku paling atas itulah selalunya paling mudah dikeluarkan oleh kita. Ataupun kala singgah makan di mana-mana restoran, sering disediakan kotak derma di kaunter pembayaran. Apalah salahnya, jika ada lebihan wang kecil dimasukkan seringgit dua ke dalamnya.

5. Melazimi mendengar dan membaca sejarah dan kisah para ahli sedekah zaman silam. Kita ini memang cepat kendur semangatnya, maka kenalah kita sering memotivasikan diri sendiri. Jika kita kaki ceramah, kita mungkin akan mendengar kisah ini daripada para penceramah. Namun, jika kita kaki buku, maka belilah buku atau majalah yang memuatkan kisah-kisah kelebihan ahli sedekah ini. Kita pasti akan terinspirasi dengan kisah-kisah kehebatan mereka dan dari situlah akan terbitnya kesukaan untuk turut menjadi ahli sedekah.

6. Istiqamah dalam bersedekah. Ini juga perkara penting, kerana hanya orang yang istiqamah atau konsisten dalam sesuatu amalan, bisa dianggap orang yang terbaik dalam amalannya. Maka, jangan bebankan diri dengan sedekah yang besar (RM100 misalnya), tetapi diberi enam bulan sekali; sebaliknya biarpun RM1, tetapi hari-hari. Nabi Muhammad SAW mengingatkan : "Amalan yang paling disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit." (Hadis sahih Muttafaqun 'Alaih)

7. Berazam untuk memberi lebih lagi pada tahun hadapan. Bagi kita orang Islam, sudah pun disediakan penanda arasnya, iaitu zakat (yang wajib dikeluarkan 2.5 peratus setahun). Maka pastikan tahun ini jika bersedekah RM1,000, harus ada peningkatan minimum 2.5 peratus pada tahun hadapan dalam perolehan harta kita agar kita mampu meningkatkan sedekah dan juga zakat. Jika RM1,000 disedekah atau dizakat, maknanya kekayaan kita baharu berjumlah RM40,000; maka gandakan 2.5 peratus supaya menjadi RM41,000 dan jadilah zakatnya RM1,025. Ini hanyalah jumlah minimum, kerana yakinlah, Allah SWT pasti akan menambahkan rezeki dan kesuburan bagi pemilik harta yang suka berzakat dan ringan bersedekah.

Semoga tips ini akan membantu kita semua menjadi ahli sedekah yang ingin mendapat keredhaan Allah..  

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal



You Might Also Like

11 lovely notes

  1. Bagus juga tips yang diberi.
    Ada yang memang gunakan tips tersebut.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah semuga kita sentiasa istiqomah dalam bersedekah. Aamiin

    ReplyDelete
  3. bagus tips nih..mudah mudahan bermanfaat utk kita semua!
    bersedekah lah selalu..walau kita xmampu..mendalam maksud sedekah nih..
    senyum juga sedekah :)

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah..pengongsian terbaik ni kak shikin...

    ReplyDelete
  5. bagus perkongsian ini.jom kita sama2 bersedekah

    ReplyDelete
  6. tangan yg memberi lebih baik drpd tangan yg menerima :) ♕Tiara Sapphire♕

    ReplyDelete
  7. tq shikin atas perkongsian semoga kita menjadi ahli sedekah yg baik

    ReplyDelete
  8. Terima kasih untuk perkongsiannya.. mudah-mudahan bermanfaat untuk kita semua...

    ReplyDelete
  9. yaa niat tu paling penting kalau nak bersedekah supaya ikhlas nak buat :D terima kasih perkongsiannya

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧

Top Commentators