Di Sebalik Nama SRLavender Studio: Dari Starlavenderluna ke Dunia Kreatif Saya

Saturday, October 17, 2026


Assalamualaikum wbt..
Awak pernah tak terfikir macam mana sesuatu nama boleh tercipta? Kadang-kadang kita fikir punya fikir, macam-macam nama muncul dalam kepala. Ada yang bunyinya gah, ada yang nampak profesional, dan ada juga yang bila disebut, rasa macam, “Haa, yang inilah aku cari selama ni!”

Begitulah juga kisah di sebalik nama SRLavender Studio.

Sebenarnya, nama lavender bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia saya. Saya memang sukakan bunga lavender, dan minat inilah yang menjadi sebahagian daripada cerita di sebalik nama pena saya, Starlavenderluna.

Kalau awak pernah membaca jurnal saya, mungkin awak pernah terjumpa satu entri lama yang saya tulis pada tahun 2015. Dalam entri tersebut, saya pernah bercerita tentang bagaimana nama Starlavenderluna tercetus.

Nama itu bukan sekadar gabungan perkataan yang kedengaran cantik. Ada cerita dan kenangan tersendiri di sebaliknya, termasuk minat saya terhadap bunga lavender serta pengaruh siri kartun Sailormoon yang saya gemari ketika itu.

Kalau awak nak tahu cerita penuhnya, bolehlah baca entri lama saya di sini:


Siapa sangka, nama yang tercetus daripada minat peribadi ini akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti kreatif saya sehingga hari ini.

Okay, sekarang kita masuk pula cerita tentang SRLavender Studio. Kenapa pula SRLavender Studio?

Kalau awak nak tau, SR ialah singkatan nama saya sendiri, Shikin Razali, manakala Lavender pula melambangkan kecintaan saya terhadap bunga lavender. Jadi, kedua-dua unsur ini masih membawa identiti yang dekat dengan diri saya.

Cuma kali ini, saya nak gunakan nama yang lebih sesuai untuk menghimpunkan pelbagai perkara yang saya lakukan. Saya bukan sekadar menulis jurnal atau menghasilkan kandungan digital. Saya juga suka mencuba idea baru, mencipta bahan kreatif, membangunkan projek digital sendiri dan pada masa yang sama menjalankan perkhidmatan terapi urutan.

Pendek kata, macam-macam benda saya nak buat! Kadang-kadang satu idea belum habis, idea lain pula datang mengetuk pintu. Jadi, saya mula terfikir, kenapa tidak saya gabungkan semua minat dan aktiviti ini di bawah satu nama komersil?

Sampailah satu hari, saya pun bertanya kepada ChatGPT untuk mendapatkan idea nama yang sesuai. Bermacam-macam cadangan nama diberikan. Ada yang kedengaran moden, ada yang nampak eksklusif, dan ada juga yang sesuai untuk sebuah jenama kreatif. Saya baca satu demi satu, kemudian fikir semula tentang identiti yang saya mahu bawa. Akhirnya, pilihan saya jatuh kepada SRLavender Studio.

Kenapa nama ini?

Sebab saya rasa nama ini paling dekat dengan diri saya sendiri. Ada singkatan nama saya, ada unsur lavender yang saya suka, dan perkataan Studio pula memberikan ruang untuk saya mengembangkan pelbagai jenis kreativiti dan perkhidmatan.

Lagipun, saya tak mahu nama yang terlalu terikat dengan satu bidang sahaja. Hari ini saya menghasilkan kandungan digital, esok saya membangunkan projek baharu, dan pada masa yang sama saya masih boleh menjalankan perkhidmatan terapi urutan. Semua ini boleh berada di bawah satu identiti yang sama. Jadi, bolehlah dikatakan ChatGPT membantu saya mencari idea, tetapi pilihan terakhir tetap saya yang buat. Hehe!

Bagi saya, SRLavender Studio bukan sekadar nama untuk tujuan komersil. Nama ini menjadi ruang untuk saya menggabungkan beberapa peranan yang saya minati. Sebab itulah saya memilih slogan Digital. Creative. Therapy. untuk SRLavender Studio. Setiap perkataan mempunyai kaitan dengan apa yang saya lakukan dan minati.

๐Ÿ’ป Content Creator — menghasilkan kandungan, berkongsi cerita dan menyampaikan idea melalui pelbagai platform.

๐ŸŽจ Digital Creator — membangunkan produk digital, menghasilkan bahan kreatif serta mencuba projek digital menggunakan idea dan kemahiran sendiri.

๐ŸŒฟ Terapis Urutan — menawarkan perkhidmatan urutan dengan memberikan perhatian kepada keselesaan pelanggan.

Awak perasan tak satu lagi, setiap kali saya kongsikan poster atau visual berkaitan SRLavender Studio, mesti ada watak wanita yang muncul dalam reka bentuk tersebut?

Sebenarnya, watak wanita itu bukanlah sekadar karakter kartun yang saya reka secara rawak. Watak tersebut diinspirasikan daripada diri saya sendiri, yang saya olah menjadi watak kartun. Kiranya, kalau awak nampak watak wanita itu dalam poster saya, bolehlah dianggap itulah versi kartun diri saya. Hehe!

Kenapa saya memilih untuk menggunakan watak kartun?

Sebenarnya, cara ini lebih menarik untuk membina identiti visual SRLavender Studio. Saya boleh menampilkan diri dalam pelbagai suasana dan gaya mengikut jenis kandungan yang ingin dikongsikan, sama ada berkaitan kreativiti digital, penulisan, projek perpustakaan mahupun perkhidmatan terapi urutan.

Watak yang sama juga boleh diberikan pakaian, latar belakang dan ekspresi yang berbeza mengikut tema poster. Jadi, walaupun kandungannya berubah-ubah, masih ada satu elemen yang menghubungkan semuanya dengan identiti SRLavender Studio.

Dengan bantuan teknologi AI, saya dapat merealisasikan idea ini dengan lebih mudah. Saya boleh bereksperimen dengan pelbagai konsep visual dan mengolahnya menjadi ilustrasi kartun yang sesuai dengan gaya serta identiti jenama saya.

Pendek kata, saya tak semestinya perlu meletakkan gambar sebenar saya pada setiap poster. Cukuplah dengan watak kartun yang menjadi representasi diri saya dalam dunia kreatif ini.

Watak ini bukan sekadar hiasan poster, tetapi sebahagian daripada identiti SRLavender Studio. Di sebalik ilustrasi yang comel itu, tetap ada orang sebenar yang mencetuskan idea, menghasilkan kandungan dan mengusahakan jenama ini. 

Siapa lagi kalau bukan saya sendiri!

Ada satu lagi perkara yang saya nak kongsikan. Baru-baru ini, saya ada ternampak satu watak wanita di akaun TikTok Kak Bib Official yang pada pandangan saya mempunyai rupa yang hampir sama dengan watak kartun yang saya gunakan dalam poster SRLavender Studio.

Bila tengok, terdetik juga dalam hati, eh, kenapa macam ada persamaan pula? Hehe.

Jadi, saya nak jelaskan sedikit supaya tak timbul salah faham. Watak wanita yang saya gunakan dalam poster SRLavender Studio sebenarnya memang diri saya yang sebenar. Saya menggunakan teknologi AI untuk mengolah imej menjadi watak kartun yang sesuai dengan identiti dan konsep jenama saya.

Saya juga faham bahawa apabila menggunakan AI untuk menghasilkan watak wanita dalam gaya kartun, ada kemungkinan hasilnya mempunyai persamaan dengan watak yang dihasilkan oleh orang lain. Lebih-lebih lagi apabila menggunakan gaya ilustrasi atau konsep visual yang hampir sama. Sama macam drama AI yang menjadi viral sekarang nie. 

Jadi, persamaan watak itu bukan bermaksud saya meniru watak TikTok tersebut. Saya mempunyai idea dan tujuan tersendiri dalam membina identiti visual SRLavender Studio, termasuk penggunaan watak kartun sebagai representasi diri saya.

Saya menghormati kreativiti orang lain dan pada masa yang sama, saya juga sedang membina identiti kreatif saya sendiri. Bagi saya, setiap pencipta mempunyai idea, pendekatan dan perjalanan masing-masing.

Apa yang penting, saya mahu watak kartun ini menjadi sebahagian daripada identiti SRLavender Studio, bersama slogan Digital. Creative. Therapy. yang mewakili tiga bidang utama saya.

Jadi, kalau ada persamaan dari segi rupa atau gaya, saya anggap ia sebagai sesuatu yang boleh berlaku dalam dunia kreativiti AI. Saya tetap akan terus berkarya dan menghasilkan sesuatu berdasarkan idea serta identiti saya sendiri.

Walaupun ketiga-tiga bidang ini nampak berbeza, semuanya mempunyai satu persamaan, iaitu datang daripada minat, kreativiti dan usaha saya untuk membina sesuatu dengan cara tersendiri. Saya mahu SRLavender Studio menjadi identiti yang boleh berkembang bersama perjalanan saya. Tak semestinya terhad kepada apa yang saya lakukan sekarang, kerana siapa tahu, mungkin pada masa akan datang akan ada lagi projek baharu yang tercetus daripada idea-idea spontan saya.

Kalau difikirkan semula, perjalanan daripada Starlavenderluna kepada SRLavender Studio sebenarnya mempunyai kesinambungan tersendiri. Starlavenderluna membawa cerita tentang minat dan identiti peribadi saya. SRLavender Studio pula membawa identiti itu ke satu ruang yang lebih luas, iaitu dunia kreativiti, kandungan digital dan perkhidmatan yang saya usahakan.

Saya masih orang yang sama, masih seorang wanita yang bernama Shikin Razali yang sukakan bunga lavender dan suka mencuba pelbagai perkara. Cuma sekarang, saya mempunyai satu nama yang menghimpunkan semua itu dalam sebuah jenama.

Dan begitulah tercetusnya nama SRLavender Studio — Digital. Creative. Therapy.

Sebuah nama yang bermula dengan diri saya sendiri, berkembang melalui minat, dan kini menjadi sebahagian daripada perjalanan saya membina sesuatu yang bermakna. Doakan semoga perjalanan kecil ini terus berkembang dan semoga setiap idea yang saya usahakan dapat memberikan manfaat kepada orang lain juga.

Terima kasih kepada awak yang sudi membaca cerita di sebalik nama ini. Daripada Starlavenderluna, kini hadir SRLavender Studio. Nama berbeza, tetapi orang di sebaliknya tetap Shikin yang sama.

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal #SRLavenderStudio


Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧