Bila Pustakawan Mula Coding: Terhasilnya Permainan Interaktif Perpustakaan!

Thursday, October 15, 2026


Assalamualaikum wbt...
Kali ini saya nak berkongsi satu lagi projek yang baru sahaja berjaya saya siapkan. Kalau sebelum ini saya banyak bereksperimen dengan pelbagai aplikasi untuk kegunaan perpustakaan, dan juga penghasilan lagu kali ini saya mencuba sesuatu yang sedikit berbeza, iaitu menghasilkan sebuah aplikasi permainan interaktif yang saya namakan Permainan Interaktif Perpustakaan.

Seperti namanya, permainan ini bertemakan perpustakaan. Jadi, sambil bermain, pemain juga boleh menguji pengetahuan tentang dunia perpustakaan dengan cara yang lebih menyeronokkan. Tak adalah asyik membaca fakta dan menjawab soalan secara biasa sahaja. Kali ini kita belajar sambil bermain! Hehehe.



Dalam aplikasi ini, saya sediakan tiga pilihan pengembaraan yang boleh dipilih oleh pemain. Setiap pengembaraan mempunyai 20 soalan dengan bentuk permainan dan cabaran yang berbeza.

Pengembaraan Pertama - Misi Pustakawan
Pengembaraan pertama ini diinspirasikan daripada permainan kuiz seperti Kahoot! Pemain perlu menjawab soalan berkaitan perpustakaan dalam masa 10 saat bagi setiap soalan. Jadi, bukan setakat perlu tahu jawapan yang betul, tetapi kena pantas juga! Setiap jawapan yang betul akan diberikan 100 markah, manakala beberapa soalan tertentu menawarkan 200 dan 300 markah. Lagi tinggi markah, lagi mencabar soalan tersebut. Barulah terasa debaran menjadi seorang pustakawan yang sedang menjalankan misi!

Pengembaraan Kedua - Ekspedisi Kata: Rahsia Perpustakaan
Untuk pengembaraan kedua pula, saya memilih konsep permainan isi tempat kosong. Pemain perlu melengkapkan perkataan atau jawapan berdasarkan soalan yang diberikan, dengan pembayang sebagai petunjuk untuk membantu mereka. Nampak mudah, tetapi jangan terlalu yakin! Kadangkala kita tahu sesuatu perkataan itu, tetapi apabila diminta mengingatinya, tiba-tiba otak pula buat hal. Hahaha!

Pengembaraan Ketiga - Misteri Artifak Perpustakaan
Pengembaraan ketiga membawa pemain menyiasat misteri barangan yang terdapat di perpustakaan. Pemain perlu meneka nama sesuatu barang berdasarkan pembayang yang diberikan. Di sinilah pemain perlu menggunakan pengetahuan, pemerhatian dan kemahiran berfikir untuk mencari jawapan yang tepat. Macam detektif sedang menyiasat kes misteri pula jadinya!

Walaupun ketiga-tiga permainan ini mempunyai mekanisme yang berbeza, semuanya berkongsi satu matlamat, iaitu memperkenalkan perpustakaan dengan cara yang lebih interaktif, santai dan menyeronokkan.

Part yang menarik, projek kali ini juga memberi peluang kepada saya untuk bereksperimen dengan bantuan AI dalam menghasilkan aplikasi.

Untuk pengekodan awal, saya menggunakan Gemini AI bagi membantu membangunkan permainan nie. Alhamdulillah, idea asas dan fungsi permainan berjaya direalisasikan. Tapi, bila melihat hasil reka bentuk awalnya, saya rasa masih ada ruang untuk menjadikan aplikasi ini lebih menarik dari segi penampilan dan pengalaman pengguna.


Biasalah, bila kita dah ada idea dalam kepala, mestilah kita nak hasil pada akhirnya kelihatan menarik juga, kan? Bukan sekadar boleh dimainkan, tetapi biarlah pemain rasa teruja sebaik sahaja membuka aplikasi tersebut. Hehehe.

Jadi, saya mintak bantuan ChatGPT pula untuk memperkemaskan reka bentuk antaramuka aplikasi, khususnya pada halaman utama yang menggunakan konsep visual berbentuk video. Saya turut memberikan perhatian kepada penggunaan muzik latar dan elemen visual supaya suasana permainan terasa lebih hidup dan mampu menarik minat pemain untuk meneroka setiap pengembaraan yang disediakan.

Lepas selesai mengemas dan mencantikkan kod aplikasi, saya masukkan pula semuanya ke dalam Google Apps Script supaya permainan ini boleh dijalankan secara online.

Macam biasalah, sebelum boleh kata siap sepenuhnya, kena uji dulu setiap permainan untuk pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Maklumlah, kalau setakat nampak cantik tetapi tak boleh main, tak jadi juga kan? Hahaha! Bagi saya, reka bentuk bukan sekadar mencantikkan paparan. Ia juga memainkan peranan dalam mewujudkan pengalaman yang menyeronokkan, terutama apabila aplikasi ini dibangunkan untuk aktiviti berkaitan perpustakaan.

Alhamdulillah, akhirnya siap juga Permainan Interaktif Perpustakaan ini. Seronok sebenarnya bila dapat realisasikan idea sendiri dengan bantuan Gemini AI dan ChatGPT. Daripada sekadar idea dalam kepala, akhirnya menjadi sebuah aplikasi permainan yang boleh dicuba oleh orang lain juga. Memandangkan saya sememangnya dah biasa bermain dengan coding sebab tukar baju blog (hihi angkat tangan siapa yang selalu tukar baju pada blog), jadi tak susah sangat nak bermain dengan coding.. Tapi biasalah ada masa semuanya berjalan lancar, ada masa kena menyemak semula kod dan mencuba beberapa kali. Ada juga bergaduh dengan ChatGPT sebab asyik betulkan coding, hahaha! Tapi  itulah sebahagian daripada proses pembelajaran. Yang penting, jangan cepat mengalah! Fighto.. Fighto.. 

Saya berharap Permainan Interaktif Perpustakaan ini dapat menjadi salah satu alternatif untuk mendekatkan pengguna dengan dunia perpustakaan melalui pendekatan yang lebih moden dan kreatif. Saya juga mengharapkan aplikasi ini dapat dimanfaatkan dalam aktiviti perpustakaan, khususnya program yang melibatkan kuiz, permainan pendidikan dan aktiviti bersama pengguna.

Perpustakaan bukan hanya tempat untuk membaca buku, mencari maklumat atau membuat rujukan. Dengan sedikit kreativiti, perpustakaan juga boleh menjadi ruang untuk bermain, meneroka ilmu, menguji pengetahuan dan belajar sesuatu yang baharu.

Sebenarnya, kepuasan menghasilkan aplikasi sendiri bukan semata-mata kerana berjaya menyiapkan pengekodan, tetapi apabila idea yang pada mulanya hanya bermain dalam fikiran akhirnya menjadi sesuatu yang boleh digunakan.

Daripada idea, menjadi aplikasi. Daripada permainan, menjadi pengalaman pembelajaran. Nampaknya, pengembaraan saya dengan dunia pengekodan masih belum berakhir. Selagi ada idea dan rasa ingin mencuba, selagi itulah saya akan terus bereksperimen dengan pelbagai projek kreatif untuk perpustakaan.

Siapa tahu, selepas ini mungkin akan ada lagi aplikasi baru yang bakal muncul? Kita tunggu dan lihat yea... Hehehe!

Jadi, kepada awak semua yang singgah membaca entri kali ini, apa kata kita meriahkan lagi dunia perpustakaan dengan mencuba permainan yang saya hasilkan ini? Hehehe!

Saya dah sediakan tiga pengembaraan menarik untuk awak pilih, iaitu Misi Pustakawan, Ekspedisi Kata: Rahsia Perpustakaan dan Misteri Artifak Perpustakaan. Pilihlah mana-mana satu yang menarik perhatian awak, ataupun kalau berani, cuba habiskan ketiga-tiganya sekali! Tengok sejauh mana pengetahuan awak tentang dunia perpustakaan. Siapa tahu, awak rupanya memang berbakat menjadi detektif perpustakaan!

Pautan permainan saya sertakan di bawah ini. Jemputlah klik, cuba bermain dan berseronok sambil menguji minda. Selepas bermain, jangan lupa singgah semula ke ruangan komen jurnal ini untuk berkongsi pengalaman dan pendapat awak, yea! Saya nak tahu permainan mana yang paling awak suka, soalan mana yang paling mencabar dan kalau ada cadangan untuk penambahbaikan, bolehlah kongsikan sekali. Tak perlu segan-segan, komen jea. Saya terima dengan hati terbuka sebab maklum balas awak semua boleh membantu saya menjadikan permainan ini lebih menarik pada masa akan datang. 

[ MULAKAN PENGEMBARAAN ]

Selamat mencuba, selamat bermain dan semoga berjaya menyelesaikan semua misi! Jangan lupa, dalam dunia perpustakaan, ilmu bukan sekadar untuk dibaca, tetapi boleh juga diterokai sambil bermain.

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧