1 Oktober: Dari Rak Buku Di Bilik Sendiri, Hingga Menjadi Seorang Pembantu Pustakawan

Thursday, October 01, 2026


Assalamualaikum wbt...
Hari ini 1 Oktober, merupakan satu tarikh yang cukup istimewa buat saya. Bukan sebab dapat kek anniversary... walaupun kalau ada yang nak belanja, saya terima dengan hati yang terbuka. 

Tetapi tarikh ini mengingatkan saya kepada satu perjalanan yang sudah begitu panjang dalam hidup saya iaitu perjalanan sebagai seorang Pembantu Pustakawan dalam perkhidmatan awam.

Bila fikir-fikir balik, sebenarnya perjalanan saya dengan buku ini bermula jauh lebih awal sebelum saya mula bekerja di perpustakaan. 

Sejak kecil lagi, saya memang suka membaca buku. Buku bagi saya memang sesuatu yang menarik. Kalau dapat buku, memang boleh duduk belek, baca dan tengok gambar atau isi kandungannya satu per satu. Sampaikan masa tengah makan pun saya akan baca buku, selalunya komik Doraemon yang menjadi pilihan untuk saya baca masa makan. Sampaikan ummie menegur suruh habiskan makanan, hihihi bayangkan masa makan tue saya ambik masa yang agak lama sebab duk baca komik tue yang saya selitkan di antara pinggan makan saya...

Jadi perjalanan saya sebagai kerja di perpustakaan memang dah ada dalam DNA sebab masa kecil dulu pun saya memang suka susun buku atas rak. Mana dapat rak buku tue..? Masa zaman tue, wujud satu kabinet kayu bertingkat yang cantik.. Atas kabinet tue ada satu rak ruang penyimpanan buku dan yang menariknya rak ruangan tue boleh diangkat dan diguna secara berasingan. Jadi rak tuelah yang saya ambil dan bawa masuk dalam bilik untuk dijadikan sebagai rak buku. hihihi jadi buku yang besar saya susun bersama dengan yang besar. Buku yang kecil saya susun bersama dengan yang kecil. Tapi yang paling utama adalah saya susun buku tue ikut genre buku, jadi bukan sebarangan susun-susn tau... Kalau ada yang senget atau ada yang ambil lepas tue tak letak dengan betul, saya akan betulkan dan susun semula.. Ha'aah lah, tue bukan macam perfectionist style ke..?

Jadi dalam bilik tue ada pelbagai koleksi sampaikan satu ketika, semua buku sekolah saya dan adik-adik saya susun di rak tue, malah buku rujukan agama Abah dan Ummie pun saya rembat masuk dan susun di rak. Bukan apa... Kononnya nak senang membaca dan letak di satu tempat jea. Tapi akhirnya bilik sendiri jadi macam mini perpustakaan peribadi!  Kalau difikirkan sekarang, rasa kelakar pula. Masa itu saya tak pernah terfikir pun yang satu hari nanti saya akan bekerja dalam bidang pustakawanan. Saya cuma tahu saya suka buku. Saya suka membaca. Dan saya suka tengok buku tersusun kemas.

Nak tau, sehingga kini pun saya mempunyai mini perpustakaan dekat rumah. Bilik tue saya namakan SRLavender Serenity Room, dan bilik tue saya gabungkan jadi 3 dalam 1. Ruang multifungsi tue saya jadikan sebagai bilik tidur tetamu, kemudian boleh ubah menjadi bilik perkhidmatan urutan dan juga ada mini perpustakaan. Mana-mana client saya yang datang berurut kesemuanya berbual perkara yang sama, mereka kagum yang saya ada banyak koleksi buku, yang paling menarik minat mereka adalah koleksi buku Mastika.. 


Kalau awak nak tau koleksi buku peribadi saya juga mempunyai rekod katalog tersendiri. Untuk merekod koleksi buku ini, saya menggunakan sistem Librarika, iaitu satu sistem pengurusan perpustakaan secara dalam talian. Saya pilih Librarika sebab ada pelan percuma yang membolehkan kita merekod sehingga 2,000 rekod buku. Jadi, bolehlah saya mengurus koleksi sendiri macam mini perpustakaan kecil-kecilan.

Maklumlah... bila dah banyak buku, kalau nak harapkan ingatan sendiri memang boleh jadi masalah. Nanti kita rasa buku tue belum ada dalam koleksi lagi, tapi bila nak rekod...

"Eh... ala, buku nie aku dah pernah belilah... ruginya..!" 

Jadi, dengan adanya sistem rekod ini, koleksi buku saya boleh diurus dengan lebih tersusun. Boleh masukkan maklumat buku, buat carian dan semak koleksi dengan lebih mudah.

Kiranya, dari kecil suka susun buku, sekarang dah siap ada "mini perpustakaan + sistem katalog" sendiri pula. 

Bukan sekadar koleksi buku, tapi ada sistemnya sekali! 

Kemudian perjalanan hidup membawa saya ke dunia pekerjaan. Dan akhirnya saya menjadi seorang Pembantu Pustakawan. Kalau masa kecil dulu saya sibuk menyusun buku dalam bilik sendiri, bila sudah bekerja pula... memang betul-betul kena urus buku orang!  Daripada buku yang perlu disusun, direkod, dikatalog, disimpan dan dicari semula, semuanya menjadi sebahagian daripada rutin kerja. Barulah saya sedar bahawa kerja di perpustakaan sebenarnya bukan sekadar duduk di belakang kaunter atau menyusun buku di rak.

Ada banyak perkara yang berlaku di sebalik tabir. 24 tahun dalam dunia kerjaya Dan tanpa saya sedari...

Sudah 24 tahun saya berada dalam dunia perkhidmatan awam sebagai seorang Pembantu Pustakawan. Bila sebut 24 tahun, saya sendiri macam...

"Eh, lama juga aku berkawan dengan buku nie yea!" 

Dua puluh empat tahun itu bukanlah satu jangka tempoh yang pendek. Dalam tempoh itu, banyak perkara sudah berubah. Cara kita bekerja mula berubah. Teknologi juga berubah. Cara orang mencari maklumat pun turut berubah dan samalah dengan dunia perpustakaan. Dulu kita banyak bergantung kepada buku fizikal dan bahan bercetak. Sekarang kita sudah biasa dengan pencarian buku dalam talian, bahan digital, e-book, dokumentasi elektronik dan pelbagai sumber maklumat kini berada di hujung jari. Jadi dalam kerjaya seorang Pembantu Pustakawan, kita tidak boleh duduk di tempat yang sama.

Kita kena ikut berubah.

Kena belajar.

Kena cuba pelbagai benda baru. Kadang-kadang benda yang kita tak pernah terfikir pun akhirnya menjadi sebahagian daripada kerja kita. 

Hari ini, kerja saya bukan hanya berkaitan buku di rak saja . Ada kerja untuk mengkatalog buku. Ada pengurusan dalam bahan perpustakaan. Ada penyediaan keratan akhbar digital. Ada dokumentasi. Buat pelbagai program membaca. Sediakan bahan promosi. Kendalikan media sosial, portal dan blog. Membuat suntingan video. 

Pendek kata...

Seorang Pembantu Pustakawan pun kena jadi macam-macam, bak kata omputih, kena multitasking.. Kadang-kadang rasa macam:

"Hari ini saya Pembantu Pustakawan.
Esok jadi admin.
Lusa jadi tukang edit.
Lepas tu jadi tukang design pula." 

Tapi sebenarnya semua itu memberikan pengalaman yang sangat berharga. Saya belajar yang dunia perpustakaan nie bukan dunia yang statik. Ia sentiasa berkembang mengikut keperluan pengguna dan perkembangan teknologi. 

Bekerja dari rumah pun buku ikut balik Semasa BDR pun, kerja perpustakaan tetap berjalan. Pernah satu ketika saya membawa pulang empat kotak buku, hampir 200 buah buku, untuk kerja-kerja pengkatalogan. Bila tengok empat kotak itu... Saya rasa macam:

"Bilalah nak habiskan semua nie?"

Tapi satu demi satu saya buat. Setiap buku ada ID yang tersendiri dan  perlu dikatalog mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Selain itu, saya juga menyediakan keratan akhbar digital untuk blog perpustakaan — lengkap dengan tarikh, nama akhbar dan nombor halaman. Kerja-kerja sebegini mungkin nampak kecil. Tetapi sebenarnya ia membantu memastikan maklumat dan bahan perpustakaan terus tersusun dan mudah dirujuk.

Bila saya kenang kembali perjalanan selama 24 tahun ini, banyak perkara yang saya belajar. Tentang buku. Tentang ilmu. Tentang teknologi. Tentang pengguna. Tentang kerja berpasukan.

Dan tentang diri sendiri.

Saya juga belajar bahawa kerja di perpustakaan bukan sekadar mengurus buku. Kita sebenarnya membantu mengurus ilmu. Kita membantu orang mencari maklumat. Kita membantu menyediakan ruang dan bahan untuk orang membaca, belajar dan mendapatkan pengetahuan. Mungkin nama kita tidak tercatat pada setiap buku. Mungkin orang tidak nampak siapa yang menyusun, merekod, mengkatalog atau menyediakan bahan tersebut. Tetapi setiap tugas itu tetap ada nilainya.

Kadang-kadang saya terfikir... Mungkin sebenarnya cerita ini sudah bermula sejak kecil lagi. Dulu saya susun buku dalam bilik sendiri. Buku Abah, buku ummie, buku sekolah termasuk buku sekolah adik-adik, semua saya susun atas rak. 

Hari ini pula saya mengurus buku dan bahan perpustakaan sebagai sebahagian daripada kerjaya. Daripada rak buku di bilik sendiri.. akhirnya sampai ke rak buku di tempat kerja. 

Bezanya cuma...

Dulu saya cuma susun buku sebab suka. Sekarang saya susun buku sebab suka dan itulah kerja saya! Dan mungkin itulah salah satu perkara yang membuatkan perjalanan ini terasa begitu istimewa. Kadang-kadang sesuatu yang kita suka sejak kecil, tanpa kita sedari, akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita.

24 tahun bukanlah noktah.

Ia hanyalah satu lagi halaman dalam sebuah buku yang masih belum selesai ditulis. Masih banyak yang boleh dipelajari. Masih banyak ilmu yang boleh digali dan dikongsi. Masih banyak buku yang boleh dibaca.

Dan masih banyak perkara baharu yang boleh diterokai dalam dunia perpustakaan.

Jadi pada 1 Oktober ini, saya ingin mengucapkan:

"Selamat Ulangtahun buat perjalanan kerjaya saya sebagai seorang Pembantu Pustakawan."

Terima kasih kepada semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Dan terima kasih juga kepada buku-buku yang sejak kecil lagi sudah menjadi teman saya.

Siapa sangka... daripada suka membaca buku, saya akhirnya bekerja dengan buku. Alhamdulillah. Semoga perjalanan ini terus dipermudahkan dan setiap ilmu yang diurus, disimpan dan dikongsikan menjadi manfaat kepada orang lain.

"Bukan sekadar mengurus buku, tetapi membantu menghubungkan manusia dengan ilmu." 
Dan kalau nak baca cerita saya yang lebih panjang tentang perjalanan sebagai seorang Pembantu Pustakawan, saya pernah kongsikan dalam cerita sebelum ini:



#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal #JurnalShikinRazali #PembantuPustakawan #PerjalananKerjaya #24Tahun #DuniaPerpustakaan #BukuDanIlmu #LibraryLife

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧