Cara Bersolat Sambil Dukung Bayi

Wednesday, May 31, 2017


Assalamualaikum wbt..
Bagi yang mempunyai anak kecil tentu biasa berhadapan dengan situasi solat kita akan diganggu oleh mereka. Kadang-kadang si kecil sengaja duduk di atas riba kita semasa sedang tahiyat awal, memanjat belakang badan semasa sedang sujud, mengorek lubang hidup, menarik telekung, menyelak kain, mencabut kopiah yang dipakai atau sengaja duduk di atas sejadah sehingga sukar untuk kita sujud dan bermacam aksi mereka lagi.

Lagi haru, kadang-kadang mereka melakukan perkara yang membahayakan diri mereka seperti bermain dengan suis elektrik, bermain di depan bilik air yang lembap lantainya dan sebagainya. Jadi dah tentu kita tak khusyuk untuk bersolat disebabkan memikirkan keselamatan mereka.

Apa yang patut kita buat? Nak marah ataupun batalkan solat untuk mengalihkan kedudukan anak?

Bagi yang bergelar suri rumah pula kadang kala berhadapan dengan situasi sukar hendak mendirikan solat lantaran tiada sesiapa yang boleh menjaga si kecil. Terpaksa tunggu anak tidur baru hendak mendirikan solat sehinggakan bersolat di akhir waktu.

Sebenarnya perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melengahkan waktu solat. Kita perlu tahu bahawa Islam adalah agama yang sangat indah dan memudahkan penganutnya cuma jangan dipermudahkan. Oleh itu jika berhadapan dengan situasi solat digangguu oleh anak kecil ada beberapa langkah yang boleh kita lakukan tanpa perlu membatalkan solat.


1. Dibolehkan bersolat sambil mendukung bayi

Dalam keadaan tertentu kita dibolehkan mendukung bayi semasa solat sama ada yang menjadi imam, makmum atau solat bersendirian. Perkara ini ada disebut dalam hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud, Baginda meletakkannya apabila bangun, baginda mendukungnya semula. (Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari)

Tetapi mestilah mematuhi syarat-syaratnya seperti:

a. Bayi bebas daripada najis. Tukarkan lampinnya sebelum mula solat.
b. Kawal pergerakan supaya tidak melakukan pergerakan anggota besar sebanyak tiga kali berturut-turut.
c. Pastikan dada sentiasa menghadap kiblat.
d. Melakukan hanya dalam keadaan yang benar-benar memerlukan sahaja dan bukan hanya suka-suka.

Cara solat sambil mendukung bayi:

1. Anak yang didukung harus dibersihkan dari sebarang najis.
2. Memulakan niat solat seperti biasa sambil mendukung bayi.
3. Tangan tak perlu diangkat ketika takbir dan tak perlu diletakkan di atas dada kerana hukum mengangkat tangan dan meletakkan di atas dada hanyalah sunat.
4. Baca surah al-fatihah seperti biasa dan surah pilihan jika keadaan mengizinkan.
5. Rukuk dengan tangan memegang erat bayi, tak perlu meletakkan tangan di atas lutut kalau tidak dapat melakukannya.
6. Semasa mahu sujud, letakkan bayi dan kemudian didukung semula apabila mahu bangun ke rakaat seterusnya.
7. Laksanakan langkah ini hingga solat selesai.

Untuk lebih jelas berikut adalah panduan bergambar:



2. Dibolehkan melakukan pergerakan sekiranya bayi melakukan sesuatu yang bahaya.

Sekiranya semasa solat anak kita melakukan sesuatu yang bahaya atau berada jauh daripada tempat solat kita, dibolehkan melakukan pergerakan anggota yang besar tidak lebih tiga kali.

Contohnya, boleh melangkah ke hadapan, ke sisi atau ke belakang dengan syarat pergerakan besar tidak melebihi tiga kali berturut-turut. Hanya pastikan dada masih lagi dalam keadaan menghadap kiblat sertai tidak bercakap.

3. Dibolehkan mempercepatkan solat ketika bayi sedang menangis.

Apabila anak kecil kita menangis sehingga boleh merisaukan kita maka dibolehkan untuk mempercepatkan solat. Ada hadis yang membuktikan Rasulullah SAW turut memendekkan solat apabila terdengar tangisan bayi.

Terdapat sebuah hadis Qatadah bahawa Anas Bin Malik menceritakan kepadanya:

Bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya aku berminat untuk memperpanjangkan solat. Tiba-tiba aku mendengar tangisan seorang anak lalu aku memendekkan solat itu kerana aku mengetahui besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisannya."

Bolehkah membatalkan solat sekiranya anak mengganggu solat kita?

Sebenarnya kita tidak boleh sesuka hati membatalkan solat kecuali disebabkan faktor keuzuran. Bagaimanapun ia dibolehkan sekiranya melibatkan kebimbangan terhadap keselamatan diri sendiri, harga atau menyelamatkan nyawa orang lain. Bahkan jika ada keinginan untuk membuang angin atau buang air, kita dibolehkan membatalkan solat.

Sesemangnya Islam agama yang indah dan sempurna. Dalam memastikan umat Islam tetap mendirikan solat dengan sempurna ia tetap menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka yang berhadapan dengan situasi tertentu terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Daripada contoh-contoh yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w seperti diceritakan dalam beberapa hadis sahih jelas membuktikan betapa Baginda tetap menyayangi anak-anak kecil sehingga di dalam solat pun Baginda meraikan telatah mereka.

Semoga kita mampu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak melalui amalan solat dan dalam masa yang sama mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w terhadap kanak-kanak semasa dalam solat.

Sumber: muzir.wordpress.com

7 comments

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧