Anak Tak Nak Minum Susu Ibu Stok Sejuk Beku Yang Dicairkan? Ini Nasihat Pakar Laktasi

Wednesday, May 31, 2017

Image result for baby don't want to drink milk

Assalamualaikum wbt..
Saya ada terbaca satu artikel yang menarik untuk tatapan kita.. Ianya mengenai bayi yang taknak minum susu ibu stok sejuk yang dicairkan... Camne nak buat yea..

Permasalahan : 
Qisha, 3 bulan sudah tidak mahu yang susu yang perahan yang disimpan lama. Ini menyebabkan mamanya, Ziela resah kerana terpaksa membuang stok susu lama yang sudah tamat tempoh. Hanya susu yang diperah segar dan menyusu terus menjadi pilihan Qisha. Adakah ini biasa berlaku kepada awak dan bagaimana mengatasinya?

Ada sesetengah bayi cerewet untuk meminum susu perahan yang disimpan di dalam peti sejuk dalam masa yang lama. Ada yang mengatakan ia berbau yang membuatkan si manja menolak. Apa puncanya dan apakah yang boleh dilakukan?

Menurut Siti Nur Suraya Mohamed Ali, pakar laktasi / IBCLC, susu yang masam dan berbau sabun perlulah dielakkan daripada diberikan kepada bayi kerana ia sudah rosak dan khuatir akan memudaratkan kesihatan si manja. Ibu juga perlulah mengambil langkah memeriksa beberapa faktor berikut;

Bekas penyimpanan
  • Pastikan susu disimpan dalam bekas penyimpanan susu perahan yang sesuai.
  • Material terbaik ialah bekas plastik gred makanan yang bebas bisphenol A.
  • Bertukarlah kepada plastik liner khas untuk susu perahan.

Cara kendalian
  • Jika anda pasti tidak akan menggunakan susu yang diperah dalam masa lima hingga lapan hari, maka terus bekukan selepas diperah.
  • Gunakan secepat mungkin selepas dicairkan dalam masa 24 jam.
  • Susu yang terdedah lama kepada suhu bilik yang panas memang akan lekas rosak.
  • Rasa dahulu susu sebelum memberikannya kepada si manja kerana ia boleh mengurangkan penolakan.
  • Pastikan susu disimpan dalam beg pendingin yang cukup sejuk untuk mengelakkan susu lekas masam. Kuantiti pek ais perlulah seimbang dengan saiz beg pendingin supaya susu kekal sejuk sebelum dipindahkan ke peti sejuk di rumah.

Periksa peti sejuk
  • Suhu peti sejuk memainkan peranan penting dan perlu mengekalkan suhu 3° hingga 7°Celsius supaya susu tahan selama lapan hari.
  • Periksa bahagian compressor kerana ia mungkin rosak dan menyebabkan suhu di dalam peti sejuk menjadi tinggi.
  • Pastikan juga pintu peti sejuk dan tempat pembeku tertutup rapat.
  • Pastikan botol susu penyimpanan atau plastik liner tertutup sempurna supaya susu tidak menyerap bau makanan di dalamnya.
  • Simpan di bahagian belakang peti sejuk, bukan di depan atau pada pintu.
  • Elakkan daripada kerap membuka dengan lama kerana suhu dalamannya boleh meningkat.

Kebersihan
  • Jika susu berbau sabun, besar kemungkinan botol atau perkakas tidak dibersihkan dengan betul.
  • Mama juga disarankan untuk menggunakan pencuci botol gred makanan untuk membersihkan botol, corong pam payu dara, puting dan botol penyimpanan susu perahan.
  • Bilas lebih lama untuk menghilangkan bau.
  • Jangan sesekali menggunakan sabun biasa kerana ia boleh menyebabkan botol menjadi berminyak.

Pemakanan ibu

  • Mama juga perlulah memerhatikan pemakanan dengan mengelakkan makanan seperti produk tenusu.
  • Elakkan juga makanan yang berbau seperti petai, durian atau cempedak kerana ia boleh mempengaruhi bau dan rasa susu yang diperah.

Tip kurangkan penolakan EBM oleh si manja daripada Siti Nur Suraya
  • Latih anak menyusu botol empat hari sebelum mula kerja di rumah pengasuh atau taska.
  • Pada hari pertama, hantar bayi kepada pengasuh/penjaga di taska selama dua jam. Purata dua jam bayi akan minum 2.5 ke 3.5oz (bagi bayi berusia dua bulan)
  • Pada hari kedua, tinggalkan bayi enam jam dengan tiga botol susu.
  • Dalam masa yang sama tingkatkan jumlah jam dan jumlah botol susu perahan yang ditinggalkan.
  • Ibu perlulah mengelakkan memberi susu botol ketika di rumah bersama dengan bayi kerana ini boleh membuatkan bayi menolak.
  • Ibu cuba bertenang dan jauhi kerisauan kerana hal ini mungkin akan menyebabkan trauma bagi bayi.

Semoga info ini bermanfaat pada ibu-ibu yang mengalami masalah ini..

Sumber info : Majalah Pa & Ma

5 comments

  1. Alamak kena belajar balik ni tentang susu ibu ni untuk baby baru nanti.. Cara simpan pun dah lupa.. hadoii..

    ReplyDelete
  2. bagus juga info mcm ni, kdg2 kita cuma ingt masuk peti sjuk susu tu dah tahan dan selamat untuk digunakan kpd bayi. Kena juga titikberatkan langkah penyediaan susu tu dlm mgaruhi kualiti susu ibu =)

    ReplyDelete
  3. Bagus info nie.. Ramai yang tak tahu..

    ReplyDelete
  4. tq for sharing..boleh baca time study nnti..rabia jurusan penjagaan awal kanak2

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧