Assalamualaikum wbt...
Sempena Hari Pustakawan pada 6 Jun yang lalu, terasa pula macam nak berkongsi sedikit cerita tentang pekerjaan saya sebagai seorang Pembantu Pustakawan. Kadang-kadang bila orang tanya kerja saya apa, dan saya jawab kerja di perpustakaan, mesti ada yang terus membayangkan yang saya hanya duduk di kaunter, scan buku pinjaman atau sekadar menyusun buku di rak. Saya cuma tersenyum sebab sebenarnya, kerja seorang pembantu pustakawan ini jauh lebih banyak daripada apa yang orang nampak...
Kalau nak diceritakan, setiap hari saya bekerja dengan dunia ilmu dan maklumat. Ada hari yang bermula dengan menguruskan bahan pinjaman dan pemulangan. Buku yang dipinjam perlu direkod, disemak dan dipastikan dipulangkan dalam keadaan baik. Kemudian, bahan tersebut perlu diletakkan semula di tempat asal mengikut susunan yang betul supaya mudah dicari semula oleh pengguna lain. Nampak macam perkara kecil, tetapi kalau tersalah susun, memang boleh jadi misi mencari buku satu perpustakaan...
Selain itu, antara rutin kerja saya adalah memastikan bahan perpustakaan sentiasa tersusun dan mudah diakses. Buku, jurnal dan bahan rujukan tidak boleh diletakkan sesuka hati kerana semuanya mempunyai sistem klasifikasi tersendiri. Kadang-kadang ada juga pengguna datang mencari bahan tetapi tidak tahu tajuk sebenar, cuma ingat sedikit isi kandungan sahaja. Jadi, saya akan cuba membantu mencari maklumat yang diperlukan supaya urusan mereka menjadi lebih mudah selain menjimatkan masa semua orang.. Maklumlah pengguna library nie hampir keseluruhannya adalah di kalangan anggota bomba sendiri..
Sebagai seorang pembantu pustakawan, saya juga sering membantu anggota dan pegawai mendapatkan bahan rujukan atau maklumat tertentu untuk tugasan, latihan dan urusan rasmi. Ada masanya bahan yang dicari perlu diperoleh dengan cepat, jadi kemahiran mencari dan mengurus maklumat memang sangat membantu dalam memastikan semuanya berjalan lancar.
Dalam masa yang sama, tugas saya bukan hanya berkaitan buku fizikal semata-mata. Sekarang ini banyak juga urusan melibatkan bahan digital seperti e-book, katalog atas talian dan dokumen digital. Dunia perpustakaan pun sudah banyak berubah mengikut peredaran zaman, jadi kami juga perlu bergerak seiring dengan teknologi supaya maklumat sentiasa mudah diakses.
Apa yang membuatkan kerja ini menjadi lebih menarik ialah saya juga banyak terlibat dalam pelbagai program galakan membaca dan aktiviti perpustakaan. Bila ada program, bukan sekadar membantu mengurus perjalanan aktiviti, tetapi saya juga terlibat dalam proses dokumentasi iaitu merakam gambar, video dan memastikan program dapat direkod dengan baik. Lepas tue saya akan bertukar bidang sekejap dengan menjadi editor media pula, sebab selepas program selesai, saya akan menyunting video, menyediakan bahan perkongsian dan mengurus kandungan media sosial seperti Facebook, YouTube serta blog perpustakaan.
Namun, walaupun sekarang saya sedang menjalani Bekerja Dari Rumah (BDR), tugas sebagai seorang pembantu pustakawan sebenarnya tak pernah terhenti begitu sahaja. Mungkin ada yang berfikir bila bekerja dari rumah nie, kerja menjadi kurang atau lebih santai. Hakikatnya, tugasan tetap berjalan seperti biasa — cuma lokasi kerja sahaja yang berubah.
Sepanjang tempoh BDR ini, saya masih meneruskan kerja-kerja perpustakaan seperti biasa, antaranya mengkatalog data buku ke dalam sistem perpustakaan dan menyiapkan keratan akhbar digital untuk dimasukkan ke dalam blog library. Malah, “stok kerja” yang perlu dibawa balik ke rumah dengan sebanyak empat buah kotak buku, dengan anggaran hampir 200 buah, dibawa pulang untuk dikatalogkan satu persatu. Bila tengok kotak-kotak tu mula-mula memang rasa macam “mak aiiii, banyaknya!” tetapi perlahan-lahan saya cuba untuk menyiapkan sedikit demi sedikit.
BACA DISINI : KERJA DARI RUMAH (BDR) ; SELAMAT HARI PEKERJA
Proses mengkatalog buku ini bukan sekadar masukkan nama buku sahaja, tetapi perlu memastikan setiap maklumat lengkap dan tersusun supaya mudah dicari semula apabila diperlukan nanti. Walaupun nampak mudah, sebenarnya kerja ini memerlukan fokus dan ketelitian.
Dalam masa yang sama, saya juga sedang berusaha menyiapkan keratan akhbar digital untuk dimasukkan ke dalam blog library. Kerja membuat keratan akhbar ini mengambil sedikit masa kerana bukan sekadar simpan atau upload begitu sahaja. Setiap keratan perlu dipotong dan disunting terlebih dahulu supaya lebih kemas dan teratur. Selepas itu, maklumat penting seperti tarikh penerbitan, nama akhbar dan bilangan muka surat juga perlu dimasukkan bagi memudahkan rujukan pada masa akan datang.
Kadang-kadang satu keratan nampak ringkas, tetapi proses di belakangnya mengambil masa yang agak panjang. Kena teliti satu persatu supaya maklumat yang disimpan dengan lengkap dan mudah untuk dicari semula. Walaupun mengambil masa yang agak lama, semua ini tetap menjadi satu usaha yang berbaloi kerana ia menjadi sebahagian daripada pengurusan ilmu dan dokumentasi yang penting untuk perpustakaan.
Bila difikirkan semula, kerja sebagai pembantu pustakawan ini sebenarnya bukan sekadar menjaga buku seperti yang ramai sangka. Ada banyak perkara berlaku di belakang tabir — daripada pengurusan bahan, pencarian maklumat, dokumentasi, pengurusan digital hinggalah kerja-kerja teknikal yang mungkin orang tak nampak.
Sempena Hari Pustakawan, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pustakawan buat semua geng-geng dalam bidang kepustakawanan di luar sana. Tidak kira sama ada bertugas di pejabat atau bekerja dari rumah, jasa kita tetap sama — menjadi penghubung kepada ilmu dan memastikan maklumat terus tersusun serta boleh dimanfaatkan oleh semua...
“Di sebalik rak buku dan fail digital, tetap ada usaha kecil yang dilakukan demi memastikan ilmu terus tersimpan dan mudah dicapai.” ✨


.png)
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧