Rindu dan kasih yang kekal

Tuesday, November 18, 2025


Assalamualaikum wbt..
Hari demi hari berlalu, namun kenangan bersama arwah adik tetap segar dalam ingatan. Kini, saya semakin faham bahawa yang paling terkesan dengan pemergiannya adalah ummie saya. Arwah bukan sekadar seorang anak, tetapi juga merupakan tulang belakang dalam kehidupan ummie. Sebagai seorang yang hidup  membujang, arwah dengan rela hati mengalas tanggungjawab untuk menjaga ummie,  dan akan bergilir dengan kami adik-beradik yang lain. Dalam diam, arwah menjadi penguat semangat ummie, menjadi peneman setia di kala sepi.Kehilangan arwah ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami semua. 

Tiada siapa menyangka, apatah lagi tiada tanda-tanda yang menunjukkan arwah akan pergi meninggalkan kami. Malah, sehari sebelum kejadian malang itu berlaku, ummie berkata arwah kelihatan seperti biasa. Tiada tingkah laku ganjil, malah tiada kata-kata yang mencurigakan daripada arwah. Semuanya berlaku begitu tiba-tiba, bagaikan mimpi yang masih sukar untuk kami terima. Arwah seorang yang penyayang dan mudah didekati. Setiap kali pulang dari kerja, arwah tidak pernah lupa untuk duduk bersama ummie atau kami adik-beradik, bercerita tentang hari-harinya, berkongsi pengalaman, sambil mengisi ruang rumah dengan gelak tawa. Sifatnya yang ringan tulang membuatkan kami semua selesa meminta pertolongannya — apa saja diminta, tidak pernah sekali pun arwah menolak kecuali bila arwah terlalu sibuk dengan tugasan kerja atau tidak sihat...

Jika ada rancangan untuk keluar bersama, arwahlah orang pertama yang sedia mengikut. Arwah juga sangat sukakan aktiviti keluarga. Antara kenangan paling indah ialah apabila kami semua berkumpul dan mengadakan BBQ. Jika ada masa terluang, atau semasa hari raya, arwahlah yang paling bersemangat menyediakan arang, mengipas api, dan memastikan semua orang menikmati suasana riang itu. Senyumannya ketika bersama keluarga menjadi memori paling manis yang akan terus kami simpan.

Arwah juga saya sifatkan seorang anak yang begitu taat pada ummie. Tidak pernah sekalipun arwah menolak permintaan jika ummie ingin ke mana-mana. Masakan ummie, walau sesederhana apa pun, arwah sentiasa terima dengan penuh syukur. Bahkan, tidak pernah keluar daripada bibirnya perkataan "tidak" setiap kali ummie meminta pertolongan. Saya rasa bersyukur kerana sepanjang hayatnya, arwah benar-benar menjadi anak yang taat dan patuh kepada ummie. 

Kini, giliran kami adik-beradik yang lain untuk menyambung amanah itu — menjaga ummie hingga ke akhir hayatnya. Setiap kali mengingatkan wajah arwah yang sentiasa tersenyum, hati terasa sebak. Rutin ummie yang dahulu berteman kini berubah menjadi sepi. Kami adik-beradik cuba mengisi kekosongan itu, namun kami tahu tiada siapa dapat menggantikan kasih dan kehadiran arwah di sisi ummie. Pemergian arwah mengajar kami bahawa hidup ini penuh rahsia, dan kehilangan boleh datang bila-bila masa tanpa amaran. Hanya doa yang mampu kami kirimkan.

“Ya Allah, tempatkanlah arwah adik kami dalam kalangan hamba-Mu yang beriman. Luaskanlah kuburnya, limpahkanlah rahmat-Mu, dan jadikanlah dia tenang di sisi-Mu. Kurniakanlah juga kekuatan dan ketabahan kepada ummie serta kami sekeluarga untuk terus redha menerima takdir-Mu.”




#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧