Assalamualaikum wbt...
Hari-hari yang saya lalui sekarang masih terasa asing tanpa kehadiran arwah adik. Kadang-kadang saya masih terbayang apabila saya balik ke kampung tanpa ditemani suami, selalunya saya akan menaiki bas ekspress.. Dan arwahlah yang akan menunggu saya di stesen bas. Wajahnya yang nampak keletihan selepas pulang kerja tetap arwah sembunyikan dengan senyuman, semata-mata kerana mahu menjemput saya. Dari situ, hidup saya mula terasa sedikit sunyi – tiada lagi dia yang menyambut, tiada lagi suara yang menenangkan perjalanan pulang.
Bagi saya arwah bukan sekadar seorang adik. Cara dia melayan saya lebih kepada seorang abang sulung. Ada masanya arwah sanggup mengambil cuti rehat hanya semata-mata untuk membawa saya berjalan-jalan dan menemani saya seolah-olah dunia ini tak pernah sibuk untuknya. Arwah tahu bagaimana caranya untuk membuat saya rasa dijaga, meskipun pada hakikatnya dialah yang lebih muda.
Saya masih boleh dengar tawa kecilnya setiap kali dia mengusik saya. Bila saya merajuk, bukannya dipujuk dengan kata-kata, tapi dengan gelak nakalnya yang akhirnya buat saya tersenyum kembali. Dan bila kakinya sakit selepas banyak berjalan, dia tak perlu bercakap apa-apa – cukup hulurkan kakinya kepada saya kerana dia tahu, dengan urutan saya, sakitnya akan reda. Itu bahasa tanpa suara antara kami, satu keakraban yang hanya kami berdua faham.
Kenangan yang manis adalah bila tibanya musim mencandat sotong. Arwah yang sememangnya seorang yang suka memancing di tengah lautan Laut China Selatan dan bila arwah mempunyai masa yang terluang, arwah pasti akan turun ke laut untuk menangkap hasil lautan segar, jadi ummie kami yang berada di kampung takkan putus-putus untuk menerima bekalan ikan segar dari laut kerana pasti akan ada hasil tangkapan yang arwah bawa balik... Bila musim mencandat sotong tiba, boleh dikatakan hampir setiap minggu arwah turun ke laut untuk mencandat, dan sudah pastinya ada bekas sotong segar untuk dibawa balik. Jika saya mengambil cuti balik kampung, pastinya saya akan dapat makan sotong segar. Tapi kalau tiada hasil tangkapan, arwah tetap mahu gembirakan kami. Arwah selalunya akan ajak saya dan ummie pergi ke kedai untuk makan sotong celup tepung di tepi pantai. Saat-saat sederhana itu kini jadi memori paling berharga, kerana ia penuh dengan kasih sayang yang dia selalu tunjukkan tanpa bersyarat. Gambar tue adalah gambar terakhir arwah serahkan sotong segar kepada saya pada bulan Jun lalu, yang secara kebetulan arwah menghantar ummie ke sini.. Ummie saya sememangnya akan datang ke sini untuk bermalam sama ada di rumah saya atau di rumah adik-adik perempuan yang tinggal di Hulu Langat dan Setiawangsa.
Dan paling saya takkan lupa tentang sesuatu yang berharga – smartwatch ini. Satu hari semasa arwah mengambil saya di stesen bas, saya bertanya pada arwah dekat mana saya boleh dapatkan smartwatch yang harga mampu milik. Arwah kata dia ada belinya tapi tak pernah pakai... Bila kami sampai di rumah, arwah terus naik ke biliknya dan kembali turun untuk menyerahkan smartwatch itu kepada saya. Katanya, “Tak payah nak membazir duit untuk beli jam. Ambik jea yang nie dan pakailah”.. Satu lagi hdiah yang arwah serahkan iaitu sebuah speaker kecil yang menurut kata arwah speaker tue adalah hadiah semasa dia mendaftar line telefon.. Itulah hadiah terakhirnya, yang bukan sekadar jam dan speaker, tapi simbol betapa dalamnya kasih sayang seorang adik terhadap kakaknya.
Kini, setiap kali saya pandang jam itu, hati saya jadi sebak. Masa seolah-olah berhenti seketika, mengingatkan saya pada detik-detik yang takkan kembali. Saya masih belajar untuk menerima kenyataan, tetapi kehilangan ini terlalu besar untuk saya hadam sepenuhnya.
Ya Allah, tempatkanlah arwah adikku di kalangan hamba-Mu yang soleh. Lapangkanlah kuburnya, terangkanlah dengan cahaya kasih-Mu, ampunilah segala dosa-dosanya, dan terimalah segala amal kebaikannya. Jadikanlah setiap kebaikan yang pernah dia lakukan sebagai pahala yang terus mengalir, dan satukanlah kami semula di syurga-Mu nanti. Aamiin.
LUAHAN JURNAL = CATATAN 24 JULAI 2025 - KENANGAN TERAKHIR
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal


Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧