Catatan 24 Julai 2025 – Kenangan terakhir

Monday, September 08, 2025


Assalamualaikum wbt...
Maaf, sudah agak lama saya tidak menulis di jurnal ini. Setiap kali saya buka ruang kosong untuk menaip, tangan terasa kaku, hati jadi berat. Ada banyak perkara yang ingin dikongsikan, tapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Kadang-kadang saya biarkan sahaja, dengan alasan “nanti saya tulis”. Namun “nanti” itu berlarutan sehingga berminggu-minggu.

Sejujurnya, sejak kebelakangan ini, saya lebih banyak menyimpan cerita dalam hati. Bukan kerana tiada apa yang berlaku, tetapi kerana saya sendiri tidak cukup kuat untuk menulisnya. Setiap kali saya cuba mengingati, air mata akan lebih dahulu mengalir.

Dan hari ini, saya gagahkan diri untuk menulis. Kerana ada satu kisah yang terlalu besar, terlalu bermakna, dan terlalu menyakitkan untuk saya simpan seorang diri.

24 Julai yang lalu… tarikh yang saya takkan dapat dilupakan. Tarikh di mana saya kehilangan adik yang saya sayangi.

Hari itu, pada 24 Julai jam 6.10 petang, saya menerima panggilan daripada ummie. Dengan suara yang tersekat-sekat, ummie memberitahu bahawa adik sudah tiada dalam dunia ini. Saat itu, dunia saya seolah-olah gelap. Saya langsung tidak tahu bagaimana hendak menerima kenyataan tersebut. Ummie juga meminta saya segera ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk proses pengecaman mayat.

Dalam keadaan masih terkejut dan lemah, saya terus menghubungi dua orang adik yang berada di Kuala Lumpur untuk sama-sama pergi ke sana. Perjalanan malam itu terasa begitu panjang dan berat. Kami tiba di hospital sekitar 11 malam, namun diberitahu bahawa proses pengecaman tidak dapat dilakukan kerana masa sudah terlalu lewat. Pegawai forensik hospital berasa bimbang andainya kami tidak dapat menahan sebak jika proses itu dijalankan pada malam tersebut. Kami diminta menunggu sehingga keesokan harinya.

Masa itu, kami tiba-tiba rasa kelu lidah, tak tahu nak buat apa. Hati kami kosong, fikiran bercelaru. Nasib baiklah makcik yang secara kebetulan baru saja sampai di Kuala Lumpur untuk ke rumah anaknya, iaitu sepupu saya. Bila makcik dapat tahu berita sedih ini, tanpa berlengah dia mengajak anaknya untuk terus ke hospital dan menemani saya serta adik-adik. Kehadiran mereka sedikit sebanyak menenangkan hati kami yang sedang dirundung duka.

Masih teringat pada wajah makcik saya, Bibyan dan dua orang sepupu saya yang cuba tersenyum di hadapan kami walaupun jelas mata mereka turut berkaca. Mereka bertiga menemani kami sepanjang malam, memberi kata-kata semangat, dan memastikan kami tidak bersendirian menanggung rasa kehilangan. Terima kasih Bibyan, Ain dan adik, kerana sudi ada bersama kami di saat paling sukar dalam hidup kami.

Keesokan paginya, barulah proses pengecaman dijalankan, diikuti dengan bedah siasat dan selepas itu, dimandikan serta dikafankan. Hati saya luluh saat diminta mengesahkan bahawa itu adalah jasad adik yang pernah saya jaga sejak kecil dan ketawa bersama. Beratnya ujian ini, hanya Allah yang tahu. Tapi saya kuatkan juga semangat demi adik-adik yang lain, yang turut menangis kerana kehilangan abang mereka. 

Selepas selesai semua urusan, kami mengiringi van jenazah untuk perjalanan pulang ke Kuala Terengganu pada jam 11 pagi. Perjalanan itu sepi, hanya dipenuhi doa dan tangisan dalam hati.

Saat jenazah arwah tiba di rumah, suasana menjadi pilu. Ramai ahli keluarga dan sanak saudara sudah menunggu. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Rumah dipenuhi dengan suara iringan doa dan bacaan Al-Fatihah, dan mereka turut merasa kehilangan yang terlalu mendalam.

Terutama ummie dan abah saya… mereka masih lagi dalam keadaan terkejut, seakan-akan tidak percaya bahawa anak kesayangan telah pergi buat selama-lamanya. Ummie kelihatan lemah, air matanya tidak berhenti mengalir sejak menerima berita itu. Abah pula hanya mampu duduk terdiam, sesekali menghela nafas panjang sambil menahan sebak di dada. Wajah mereka benar-benar menggambarkan betapa beratnya kehilangan seorang anak yang menjadi penyejuk mata dan penghibur hati.

Kami adik-beradik yang lain cuba menenangkan ummie dan abah, memegang tangan mereka, memeluk bahu mereka, sambil turut sama menangis. Namun dalam hati, kami sendiri sebenarnya tidak mampu menahan rasa sebak. Hanya doa dan kata-kata lembut yang mampu kami ucapkan, walaupun kami tahu tiada apa yang dapat menghapuskan rasa perit yang sedang mereka tanggung saat itu.

Arwah kemudian disolatkan di masjid pada jam 5.00 petang, sebelum selamat disemadikan di tanah perkuburan kira-kira jam 5.20 petang. Saat tanah terakhir ditimbus, semua yang hadir hanya mampu mengalirkan air mata. Terasa benar kehilangan itu, seolah-olah sebahagian daripada diri kami juga turut pergi bersama arwah.

Sehari selepas arwah adik disemadikan, saya masih lagi dalam keadaan terkejut. Air mata tidak berhenti mengalir, terutama setiap kali pandangan saya jatuh pada kerusi makan yang arwah selalu duduk.

Betapa kuatnya memori itu datang menyerbu… arwah selalu tunggu saya untuk makan bersama-sama. Walaupun makanan sudah tersedia, arwah sanggup berlapar, sanggup menunggu saya bersiap. Katanya, lebih seronok makan bila ada teman. Dan bila kami duduk makan bersama-sama, suasana akan penuh dengan cerita, gurauan dan gelak tawa.

Kerusi itu kini kosong, tapi setiap kali saya pandang, saya masih terbayang wajahnya, senyumnya, dan suara tawanya. Hati terasa bagai dirobek kerana menyedari kenangan itu kini hanya tinggal dalam ingatan.

Namun sebenarnya, saya tidak tahu langsung tentang kemalangan itu pada hari kejadian. Saya hanya mengetahuinya pada keesokan harinya, selepas adik saya kongsikan berita tersebut melalui WhatsApp.

Rupanya itulah kemalangan jalan raya yang berlaku di Sungai Koyan. Antara mangsa yang terlibat ialah arwah adik saya sendiri. Lebih memilukan, seorang wanita berusia 50-an yang turut terlibat dalam kemalangan itu juga meninggal dunia. Dua nyawa pergi serentak pada hari yang sama… benar-benar mengajar saya bahawa hidup ini terlalu singkat.

Saya bukan sedih kerana cara arwah pergi. Saya percaya, semua itu sudah ditentukan dalam Loh Mahfuz. Kita sendiri tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti. Cuma doa saya, semoga Allah jemput kita semua dalam keadaan yang terbaik.

Apa yang betul-betul buat saya sebak… adalah memori terakhir arwah dengan saya. Minggu terakhir sebelum pemergiannya, arwah sempat belikan sayur kegemaran saya.

Masa itu, ummie saya sempat bertanya, “Kenapa beli awal sayur ni? Kak Nur kan nak balik kampung minggu depan, lambat lagi…”

Arwah hanya tersenyum dan menjawab, “Takpe lah beli siap-siap. Kak Nur kan nak balik kampung, jadi senang… takyah beli lambat-lambat.”

Saya tak pernah sangka, kata-kata yang nampak biasa itu sebenarnya itu adalah hadiah terakhir daripada dia untuk saya. Sayur yang nampak biasa pada orang lain, tapi terlalu besar maknanya buat saya.

Kini saya masih berada dalam fasa penerimaan. Malam-malam saya masih ditemani air mata yang jatuh tanpa henti. Setiap kali tiba waktu sunyi, wajah terakhir arwah tetap saya tatap… seakan-akan masih ada di hadapan mata. Saya jadikan wajah itu sebagai penawar, ubat yang menenangkan hati walaupun jiwa saya masih terasa kosong.

Setiap kali teringat kata-kata dan senyuman arwah di foto yang terakhir, hati saya menjadi sebak. Saya terbayang betapa arwah masih sempat fikirkan kakaknya, walaupun tanpa disedari, itu adalah hari-hari terakhirnya di dunia ini. Sekarang, sayur itu bukan sekadar makanan lagi. Ia jadi satu memori, satu kenangan terakhir yang akan saya simpan erat dalam hati.

Ya Allah, Engkau lebih menyayanginya. Aku redha dengan pemergiannya. Aku titipkan doa, semoga roh adikku dan juga wanita yang turut menjadi mangsa kemalangan itu tenang di sisi-Mu, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin.. Aamiin.. Aamiin Ya Rabbal Alaamiin...

Al-Fatihah buat arwah adikku…

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧