Saat berita duka menyentuh jiwa

Friday, July 18, 2025


Assalamualaikum wbt...
Semalam, hati saya bagai retak apabila menerima berita sedih. Suami kepada seorang rakan sekerja telah pergi meninggalkan dunia ini akibat kemalangan di Highway MEX, Putrajaya kira-kira pada jam 6 petang semalam. Berita itu datang tanpa amaran, seperti angin yang menggoncang jiwa. Kadang-kadang, kita tidak sedar betapa rapuhnya hidup ini – hanya satu detik, segalanya boleh berubah.

Pagi tadi, post-mortem hanya dapat dijalankan sekitar jam 11.30 pagi, kerana ada hal tertentu yang tak dapat saya nak diceritakan. Apa yang terlintas di fikiran adalah, alangkah baiknya jika urusan jenazah tidak ditangguhkan terlalu lama. Setiap kali mendengar berita sebegini, hati saya sebak memikirkan betapa pentingnya kita memuliakan jenazah dengan menyegerakan urusan pengebumian.

Pagi ini, saya terdiam sejenak. Jika diikutkan hati nie, saya nak menziarahi rakan saya di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya. Tapi kaki saya terasa kaku, langkah saya terhenti. Ingatan saya melayang pada arwah bos saya yang telah pergi hampir dua tahun lalu. Ketika itu, saya tidak cukup kuat untuk menahan sebak, apatah lagi hari ini jika melihat rakan saya menangis memeluk pilu kerana kehilangan suami tercinta.

Saya tidak sanggup membayangkan wajah anak-anak perempuan yang masih kecil – kembar seiras yang baru 9 bulan melihat dunia – kini harus membesar tanpa belaian seorang ayah. Hati saya luluh memikirkannya.

Saya juga sering berpesan kepada suami dan keluarga,

“Jika satu hari nanti saya dijemput pergi, kebumikanlah saya di mana nafas terakhir saya terhenti. Jangan tangguh, jangan susahkan urusan.”

Kerana akhirnya, kita hanyalah seorang pengembara di dunia yang sementara. Jasad kita tidak meminta apa-apa selain untuk dilepaskan kembali dengan doa dan keredhaan orang yang ditinggalkan.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita lengahkan kata sayang. Terlalu rapuh untuk kita abaikan orang-orang yang kita cinta. Kita tidak pernah tahu, apakah nafas ini akan disambung untuk esok atau dihentikan dalam sekelip mata.

“Ya Allah, ampunilah segala dosanya, lapangkan kuburnya, dan kurniakan syurga-Mu yang indah untuknya. Berilah kekuatan kepada keluarganya, agar mereka mampu menerima ujian-Mu dengan tabah.”

Setiap kali mendengar berita kematian, saya selalu ingatkan dalam hati bahawa dunia ini hanyalah persinggahan. Hari ini saya menaip, esok mungkin nama saya pula disebut dalam doa orang lain. Ingatlah juga untuk lebih menghargai masa bersama keluarga. Kita tidak tahu bilakah kali terakhir kita dapat berjumpa, berbicara, atau tersenyum bersama orang yang kita sayang. Semoga kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧