Dari Melayu, English, Jepun… Sekarang Korea & Mandarin Pula!

Friday, October 09, 2026


Assalamualaikum wbt...
Kalau sebelum ini saya dah bawa lagu “Di Dalam Kesunyian / Inside the Silence” berjalan dari Bahasa Melayu ke English, kemudian singgah negara Jepun… kali ini lagu tersebut terus sambung perjalanan lagi.



Kali ini saya keluarkan dua versi bahasa terus — Korea dan Mandarin!

Nampaknya lagu saya ni lebih rajin travel daripada tuan punya lagu. Saya pula masih setia duduk depan komputer. Tapi sebenarnya, saya suka mencuba bagaimana satu lirik yang sama boleh membawa rasa yang berbeza apabila diterjemahkan ke bahasa lain.

Dan untuk kedua-dua versi kali ini, saya kembali menggunakan Suno AI kerana saya rasa hasilnya lebih dekat dengan lirik asal yang saya tulis. Daripada satu cerita tentang kesunyian, luka, harapan dan kepercayaan bahawa Tuhan masih ada… kini cerita itu sudah ada beberapa "versi bahasa".

Saya sendiri tak tahu selepas ini lagu ini akan "terbang" ke bahasa mana pula.

Mungkin Arab?

Mungkin Sepanyol?

Yang pasti, perjalanan “Di Dalam Kesunyian” masih belum tamat.

Yang menariknya, setiap kali saya tukarkan bahasa, saya dapat rasa sesuatu yang sedikit berbeza walaupun cerita dan mesejnya masih sama. Dan mungkin itulah yang membuatkan saya seronok bereksperimen dengan lagu ini.

Saya bukan seorang penyanyi. Saya juga bukan seorang komposer yang profesional. Saya cuma seorang yang suka menulis, suka mencuba benda baharu dan kadang-kadang terlebih rajin tekan butang “Generate”. Tetapi daripada satu idea kecil, akhirnya lahir beberapa versi lagu yang mempunyai identiti masing-masing.

Apa pun, saya suka proses ini. Sebab bagi saya, teknologi AI bukan sekadar tentang menghasilkan sesuatu dengan cepat. Ia juga memberi peluang untuk saya melihat semula tulisan saya dari sudut yang berbeza.

Lirik yang sama.

Cerita yang sama.

Tetapi apabila dibawa ke bahasa yang berbeza... Rasanya boleh berubah. Dan mungkin itu yang paling menarik tentang muzik. Kadang-kadang kita tak perlu mengubah cerita. Kita cuma perlu mengubah cara cerita itu disampaikan. Dan untuk lagu “Di Dalam Kesunyian / Inside the Silence”, perjalanan kecilnya masih diteruskan...

Untuk versi Korea, saya cuba kekalkan suasana lagu yang agak sunyi dan introspektif. Bahasa Korea memang ada satu rasa yang tersendiri bila digunakan dalam lagu yang berkisar tentang kesunyian, luka dan harapan. Bila liriknya dialihkan ke bahasa Korea, tiba-tiba lagu yang sama terasa macam ada suasana drama Korea pula.

Tinggal tunggu watak utama berdiri tepi tingkap sambil hujan turun je. Tapi sebenarnya, saya suka bagaimana beberapa bahagian lirik itu kedengaran selepas diterjemahkan. Rasa asalnya masih ada, cuma cara penyampaiannya berubah.

Kemudian saya buat pula versi Mandarin. Yang ini pun menarik kerana saya mula nampak lagu tersebut dalam suasana yang berbeza. Saya tidak semestinya mahu menjadikannya lagu ballad sepenuhnya. Saya lebih suka membayangkan versi Mandarin ini dalam gaya dream pop / cinematic pop yang sedikit dreamy, tenang dan misteri. Macam sedang berjalan seorang diri pada waktu malam sambil dengar lagu dengan earphone. Padahal sebenarnya duduk depan komputer je. 

Itulah magiknya muzik AI ni. Belum keluar rumah pun dah boleh pergi Korea, Jepun dan China.

Untuk kedua-dua versi ini, saya kembali menggunakan Suno AI. Sebelum ini saya pernah mencuba beberapa AI tools lain untuk menghasilkan versi lagu yang berbeza. Tetapi untuk versi Korea dan Mandarin kali ini, saya rasa Suno AI lebih dekat dengan lirik asal yang saya tulis. Ini penting bagi saya.

Sebab lirik lagu ini asalnya datang daripada tulisan dan perasaan yang saya sendiri bina. Jadi walaupun saya menggunakan AI untuk membantu menghasilkan muzik dan vokal, saya masih mahu hasil akhirnya terasa seperti lagu saya, bukan sekadar lagu yang kebetulan menggunakan lirik saya.

Saya cuba beberapa gaya dan akhirnya saya lebih suka apabila susunan muziknya masih memberikan ruang kepada lirik untuk "bercakap".

Terutamanya bahagian tentang...

kesunyian,
rasa penat,
mencari cahaya,
bertanya sama ada masih ada ruang untuk bahagia...

dan akhirnya kembali kepada satu perkara yang paling penting — masih percaya bahawa Tuhan itu ada.

Kalau awak nak dengar sendiri bagaimana lagu yang sama bunyinya apabila dibawa ke dua bahasa yang berbeza, saya dah upload kedua-dua versi ini di YouTube.

🎬 Tonton versi Korea di YouTube:


🎬 Tonton versi Mandarin di YouTube:


Kalau awak dah dengar kesemua lagu dalam pelbagai versi bahasa, saya nak bertanya…

Bahasa mana yang paling kena dengan jiwa awak? 

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Korea, Bahasa Mandarin atau Bahasa Jepun?

Apa pun pilihan awak, saya tetap suka kesemua bahasa sebab setiap versi membawa warna dan rasa yang sedikit berbeza.

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

3 comments

  1. Aini dah dengar semua bahasa.. I like them all.. same melody but diff languange.
    Leh try bahasa arab and french plak hehe..
    awak leh pi jauh ni tau..pandai awak..

    ReplyDelete
  2. sedapnya suara penyanyi Korea itu. Tahniah Shikin. Nanti buleh post di TT. Sy pasti lagu ni akan popular!

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧