Assalamualaikum wbt..
Hari demi hari berlalu, namun kenangan bersama arwah adik tetap segar dalam ingatan. Kini, saya semakin faham bahawa yang paling terkesan dengan pemergiannya adalah ummie saya. Arwah bukan sekadar seorang anak, tetapi juga merupakan tulang belakang dalam kehidupan ummie. Sebagai seorang yang hidup membujang, arwah dengan rela hati mengalas tanggungjawab untuk menjaga ummie, dan akan bergilir dengan kami adik-beradik yang lain. Dalam diam, arwah menjadi penguat semangat ummie, menjadi peneman setia di kala sepi.Kehilangan arwah ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami semua.
Tiada siapa menyangka, apatah lagi tiada tanda-tanda yang menunjukkan arwah akan pergi meninggalkan kami. Malah, sehari sebelum kejadian malang itu berlaku, ummie berkata arwah kelihatan seperti biasa. Tiada tingkah laku ganjil, malah tiada kata-kata yang mencurigakan daripada arwah. Semuanya berlaku begitu tiba-tiba, bagaikan mimpi yang masih sukar untuk kami terima. Arwah seorang yang penyayang dan mudah didekati. Setiap kali pulang dari kerja, arwah tidak pernah lupa untuk duduk bersama ummie atau kami adik-beradik, bercerita tentang hari-harinya, berkongsi pengalaman, sambil mengisi ruang rumah dengan gelak tawa. Sifatnya yang ringan tulang membuatkan kami semua selesa meminta pertolongannya — apa saja diminta, tidak pernah sekali pun arwah menolak kecuali bila arwah terlalu sibuk dengan tugasan kerja atau tidak sihat...
Jika ada rancangan untuk keluar bersama, arwahlah orang pertama yang sedia mengikut. Arwah juga sangat sukakan aktiviti keluarga. Antara kenangan paling indah ialah apabila kami semua berkumpul dan mengadakan BBQ. Jika ada masa terluang, atau semasa hari raya, arwahlah yang paling bersemangat menyediakan arang, mengipas api, dan memastikan semua orang menikmati suasana riang itu. Senyumannya ketika bersama keluarga menjadi memori paling manis yang akan terus kami simpan.
Arwah juga saya sifatkan seorang anak yang begitu taat pada ummie. Tidak pernah sekalipun arwah menolak permintaan jika ummie ingin ke mana-mana. Masakan ummie, walau sesederhana apa pun, arwah sentiasa terima dengan penuh syukur. Bahkan, tidak pernah keluar daripada bibirnya perkataan "tidak" setiap kali ummie meminta pertolongan. Saya rasa bersyukur kerana sepanjang hayatnya, arwah benar-benar menjadi anak yang taat dan patuh kepada ummie.
Kini, giliran kami adik-beradik yang lain untuk menyambung amanah itu — menjaga ummie hingga ke akhir hayatnya. Setiap kali mengingatkan wajah arwah yang sentiasa tersenyum, hati terasa sebak. Rutin ummie yang dahulu berteman kini berubah menjadi sepi. Kami adik-beradik cuba mengisi kekosongan itu, namun kami tahu tiada siapa dapat menggantikan kasih dan kehadiran arwah di sisi ummie. Pemergian arwah mengajar kami bahawa hidup ini penuh rahsia, dan kehilangan boleh datang bila-bila masa tanpa amaran. Hanya doa yang mampu kami kirimkan.
“Ya Allah, tempatkanlah arwah adik kami dalam kalangan hamba-Mu yang beriman. Luaskanlah kuburnya, limpahkanlah rahmat-Mu, dan jadikanlah dia tenang di sisi-Mu. Kurniakanlah juga kekuatan dan ketabahan kepada ummie serta kami sekeluarga untuk terus redha menerima takdir-Mu.”
LUAHAN JURNAL = CATATAN 24 JULAI 2025 - KENANGAN TERAKHIR
LUAHAN JURNAL = HADIAH TERAKHIR YANG ABADI DALAM INGATAN
LUAHAN JURNAL = MONOLOG HATI BUAT ARWAH ADIK TERSAYANG
Assalamualaikum wbt...
Saya masih terbayang semasa kami lima beradik berkumpul. Dari kecil lagi, kami berenam termasuk ummie sentiasa makan bersama-sama, dan tradisi itu terus kekal hinggalah masing-masing sudah berumah tangga. Tidak kira waktu makan pagi, tengah hari ataupun malam, kami akan duduk mengelilingi meja, menikmati makanan sambil bersembang. Kadang kala cerita kami meleret hingga lupa pada masa, sampailah ummie terpaksa menegur kami supaya cepat solat atau mandi. Di bahagian dapur rumah itulah saksi betapa rapatnya hubungan kami adik-beradik.
Seperti kebanyakan adik beradik yang lain, di waktu kecil ada kalanya kami bergaduh. Namun pertelingkahan itu tidak pernah berpanjangan. Hanya beberapa jam sahaja kami bermasam muka, selebihnya kembali ketawa bersama. Itulah indahnya ikatan kami berlima—seakan tidak mampu berjauhan hati walaupun seketika. Mungkin sebab kami semua selalu bersama, jadi pertelingkahan antara adik beradik memang tak pernah berpanjangan..
Setelah kami semua meningkat dewasa, suasana tetap tidak banyak berubah. Kami tetap mencari ruang untuk makan bersama dan berbual panjang hingga melewati waktu. Walaupun arwah merupakan seorang bujang dengan dunianya sendiri, dia tetap mengutamakan keluarga, tetap mendahulukan kami adik-beradik dan ummie.
Ada satu memori yang selalu menjengah setiap kali saaya menatap bilik ketiga di rumah saya nie. Bilik itu pernah menjadi permintaan arwah. Dia sering menyebut mahu ada privasi jika bertandang ke sini. Salah satu sebab saya membuat renovation rumah adalah semata-mata untuk menunaikan permintaan arwah dan akhirnya saya dapat menunaikan permintaan arwah.. Dan setiap kali arwah datang ke sini bersama ummie dan yang lain, tidak pernah gagal dia mengajak saya untuk berjalan-jalan, kebiasaannya saya hanya menemani mereka shopping ke Nilai 3.. Tetapi detik kecil itulah yang kini menjadi besar dalam kenangan.
Saya selalu bergurau dengan adik-beradik, malah di status WhatsApp pun sering saya tulis: “Inilah dua bodyguard saya dunia akhirat.” Mereka inilah tempat saya bersandar, tempat untuk saya merasa selamat. Namun kini, hanya tinggal seorang bodyguard yang masih ada. Rasa kehilangan itu begitu mendalam, seperti sebahagian dari diri saya telah tercabut pergi.
Setiap hari Jumaat, abang arwah yang merupakan adik lelaki kedua tidak pernah lupa untuk menziarahi pusara. Bersama dengan anak-anaknya, mereka akan membaca Surah Yassin dan mendoakan kesejahteraan roh arwah. Saat melihat perkongsian gambar ziarah dalam group Whatsapp, hati saya tersentuh. Saya tahu, abangmya itu menyimpan duka yang sama. Kehilangan itu bukan hanya dirasakan oleh saya, tetapi juga oleh dia dan seluruh keluarga kami..
Kini, saya, ummie, abah, serta adik-beradik yang lain masih berusaha menerima takdir ini dengan hati yang redha. Ada masanya kami kuat, ada masanya air mata tumpah tanpa disedari. Kehilangan seorang insan yang begitu rapat tidak pernah mudah, apatah lagi bila setiap kenangan masih segar di ingatan.
Kenangan waktu kecil bersama arwah sentiasa bermain di fikiran. Walaupun kami adik-beradik sering bergaduh kecil, namun arwah selalu menjadi orang yang cepat mengalah. Dia jenis yang tak suka memanjangkan cerita, cukup sekadar melihat kami kembali ketawa bersama. Kadang-kadang, dialah yang jadi pencetus suasana riuh dalam rumah. Dengan gurauan spontan dan tingkah nakalnya, rumah kami tidak pernah sunyi.
Saya masih ingat, setiap kali cuti sekolah, kami adik-beradik akan berkumpul di dapur, sama-sama membantu ummie menyiapkan makanan dan makan bersama-sama. Tapi sama seperti kebanyakan adik beradik, kadang kala keletah nakal yang ingin terus bermain dan tak mahu makan membuatkan timbul rasa geram... Tapi bila dipanggil ummie, dia akan tersenyum, tunduk dan akur. Kenangan sekecil itu kini terasa besar nilainya, kerana semuanya hanya tinggal dalam ingatan.
Malah, masa kecil dulu, bila kami terlalu leka bermain dan bersembang, ummie selalu menegur supaya segera mandi dan solat. Saat itu, arwah antara yang paling lambat bergerak, membuatkan kami semua ketawa. Gelagatnya sering jadi bahan usikan, tetapi itulah yang membuatkan zaman kecil kami penuh warna.
Kini, setelah arwah tiada, setiap memori lama itu bagaikan harta yang tidak ternilai. Walaupun air mata kadang tumpah saat mengenangnya, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang melalui detik-detik indah itu bersama arwah. Semoga kenangan ini menjadi penguat semangat untuk saya dan adik-beradik lain dalam meredakan rasa rindu yang tidak pernah hilang.
"Ya Allah, rahmatilah roh adikku sejak dari kecil hingga ke akhir hayatnya. Ampunilah segala khilafnya, terimalah amalnya, dan tempatkanlah dia di syurga yang abadi. Kurniakanlah kekuatan kepada kami yang masih hidup agar tabah menerima takdir-Mu, serta jadikanlah kenangan indah ini sebagai pengikat hati yang menguatkan kami sekeluarga. Amin Ya Rabbal ‘Alamin."
LUAHAN JURNAL = CATATAN 24 JULAI 2025 -KENANGAN TERAKHIR
LUAHAN JURNAL = HADIAH TERAKHIR YANG ABADI DALAM INGATAN
Assalamualaikum wbt...
Hari-hari yang saya lalui sekarang masih terasa asing tanpa kehadiran arwah adik. Kadang-kadang saya masih terbayang apabila saya balik ke kampung tanpa ditemani suami, selalunya saya akan menaiki bas ekspress.. Dan arwahlah yang akan menunggu saya di stesen bas. Wajahnya yang nampak keletihan selepas pulang kerja tetap arwah sembunyikan dengan senyuman, semata-mata kerana mahu menjemput saya. Dari situ, hidup saya mula terasa sedikit sunyi – tiada lagi dia yang menyambut, tiada lagi suara yang menenangkan perjalanan pulang.
Bagi saya arwah bukan sekadar seorang adik. Cara dia melayan saya lebih kepada seorang abang sulung. Ada masanya arwah sanggup mengambil cuti rehat hanya semata-mata untuk membawa saya berjalan-jalan dan menemani saya seolah-olah dunia ini tak pernah sibuk untuknya. Arwah tahu bagaimana caranya untuk membuat saya rasa dijaga, meskipun pada hakikatnya dialah yang lebih muda.
Saya masih boleh dengar tawa kecilnya setiap kali dia mengusik saya. Bila saya merajuk, bukannya dipujuk dengan kata-kata, tapi dengan gelak nakalnya yang akhirnya buat saya tersenyum kembali. Dan bila kakinya sakit selepas banyak berjalan, dia tak perlu bercakap apa-apa – cukup hulurkan kakinya kepada saya kerana dia tahu, dengan urutan saya, sakitnya akan reda. Itu bahasa tanpa suara antara kami, satu keakraban yang hanya kami berdua faham.
Kenangan yang manis adalah bila tibanya musim mencandat sotong. Arwah yang sememangnya seorang yang suka memancing di tengah lautan Laut China Selatan dan bila arwah mempunyai masa yang terluang, arwah pasti akan turun ke laut untuk menangkap hasil lautan segar, jadi ummie kami yang berada di kampung takkan putus-putus untuk menerima bekalan ikan segar dari laut kerana pasti akan ada hasil tangkapan yang arwah bawa balik... Bila musim mencandat sotong tiba, boleh dikatakan hampir setiap minggu arwah turun ke laut untuk mencandat, dan sudah pastinya ada bekas sotong segar untuk dibawa balik. Jika saya mengambil cuti balik kampung, pastinya saya akan dapat makan sotong segar. Tapi kalau tiada hasil tangkapan, arwah tetap mahu gembirakan kami. Arwah selalunya akan ajak saya dan ummie pergi ke kedai untuk makan sotong celup tepung di tepi pantai. Saat-saat sederhana itu kini jadi memori paling berharga, kerana ia penuh dengan kasih sayang yang dia selalu tunjukkan tanpa bersyarat. Gambar tue adalah gambar terakhir arwah serahkan sotong segar kepada saya pada bulan Jun lalu, yang secara kebetulan arwah menghantar ummie ke sini.. Ummie saya sememangnya akan datang ke sini untuk bermalam sama ada di rumah saya atau di rumah adik-adik perempuan yang tinggal di Hulu Langat dan Setiawangsa.
Dan paling saya takkan lupa tentang sesuatu yang berharga – smartwatch ini. Satu hari semasa arwah mengambil saya di stesen bas, saya bertanya pada arwah dekat mana saya boleh dapatkan smartwatch yang harga mampu milik. Arwah kata dia ada belinya tapi tak pernah pakai... Bila kami sampai di rumah, arwah terus naik ke biliknya dan kembali turun untuk menyerahkan smartwatch itu kepada saya. Katanya, “Tak payah nak membazir duit untuk beli jam. Ambik jea yang nie dan pakailah”.. Satu lagi hdiah yang arwah serahkan iaitu sebuah speaker kecil yang menurut kata arwah speaker tue adalah hadiah semasa dia mendaftar line telefon.. Itulah hadiah terakhirnya, yang bukan sekadar jam dan speaker, tapi simbol betapa dalamnya kasih sayang seorang adik terhadap kakaknya.
Kini, setiap kali saya pandang jam itu, hati saya jadi sebak. Masa seolah-olah berhenti seketika, mengingatkan saya pada detik-detik yang takkan kembali. Saya masih belajar untuk menerima kenyataan, tetapi kehilangan ini terlalu besar untuk saya hadam sepenuhnya.
Ya Allah, tempatkanlah arwah adikku di kalangan hamba-Mu yang soleh. Lapangkanlah kuburnya, terangkanlah dengan cahaya kasih-Mu, ampunilah segala dosa-dosanya, dan terimalah segala amal kebaikannya. Jadikanlah setiap kebaikan yang pernah dia lakukan sebagai pahala yang terus mengalir, dan satukanlah kami semula di syurga-Mu nanti. Aamiin.
LUAHAN JURNAL = CATATAN 24 JULAI 2025 - KENANGAN TERAKHIR
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Assalamualaikum wbt...
Mari bercerita bersama Me Books. Aktiviti terbaik bersama keluarga. Awak boleh menonton, bercerita, mendengar, merakam suara dan membaca bersama-sama.
Akses dalam talian dengan PERCUMA .
Sila layari www.u-pustaka.gov.my
Jom, sertai kami:
13 November 2025 (Khamis)
10. 00 pagi - 12.00 tengah hari
Bersama Puan Siti Baizurah binti Osman,Me Books
Ikuti secara dalam talian di Google Meet
Semua dijemput hadir. Semoga program ini memberi manfaat kepada semua.
* BAHAGIAN SUMBER ELEKTRONIK
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA
T : 03 - 2687 1776 / 1781 / 1892 *
Assalamualaikum wbt...
Ketahui cara pencarian maklumat melalui pangkalan data J-GATE dan kemudahan yang disediakan untuk anda di portal u-Pustaka. Akses e-jurnal dan baca dalam talian. MUDAH DAN PERCUMA!
Hanya di u-Pustaka. Layari www.u-pustaka.gov.my
Untuk info lanjut, sertai kami:
🗓️ 6 November 2025 (Khamis)
⏰ 10. 00 pagi - 12.00 tengah hari
👨💼 En. Peter Chung
Pengarah, EtecCompany
Sila klik Google Meet👇
Semua dijemput hadir. Semoga program ini memberi manfaat kepada semua.
*BAHAGIAN SUMBER ELEKTRONIK
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA
T : 03 - 2687 1776 / 1781 / 1892*
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Assalamualaikum wbt...
Tanggal 18 Oktober yang lalu adalah hari yang cukup meriah di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Presint 7, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Cuaca pada hari tue agak cantik, langit yang cerah berwarna biru, dan angin pagi yang bertiup lembut — memang “perfect” sangat untuk suasana karnival! Buat julung kalinya, Ibu Pejabat JPBM telah mengadakan satu karnival yang diberi nama Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025.
Seawal jam 8 pagi, kawasan ibu pejabat mula dipenuhi dengan para pengunjung. Ada yang datang satu keluarga, ada yang datang dengan kawan-kawan dan ada pula yang datang bersama-sama rombongan sekolah. Mereka semua nampak teruja nak sertai Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025. Dari jauh lagi dah kedengaran muzik yang rancak dan suara pengacara yang memeriahkan suasana. Di kiri kanan jalan pula, pelbagai booth dihias cantik, masing-masing mempunyai peralatan pameran dengan aktiviti menarik untuk para pengunjung.
Tapi antara booth yang paling mendapat perhatian sudah semestinya booth unit saya iaitu Unit Pengurusan Pusat Sumber! Kami tampil dengan konsep santai dan penuh warna — siap ada aktiviti Pertandingan Cari Perkataan dan Teka Silang Kata. Tak lupa juga program yang sering dianjurkan oleh semua perpustakaan di seluruh Malaysia iaitu Program Jom Baca Bersama 10 Minit untuk para kanak-kanak cilik. Dari pagi sampai tengah hari, booth kami tak henti-henti menerima kedatangan warga tempatan. Anak-anak kecil datang dengan semangat tinggi, ada yang berlumba-lumba nak jawab soalan, ada yang baca buku yang telah kami sediakan, dan kumpul hadiah. Siapa yang berjaya, bukan sahaja mereka dapat hadiah kecil, tapi juga mereka mendapat belon yang comel berwarna-warni!
Kalau awak nak tau, booth kami juga cukup “strategik”, sebab ianya bersebelahan dengan Bahagian Keselamatan Kebakaran yang mempamerkan pelbagai peralatan bomba dan — yang paling mencuri perhatian — pertunjukan ular sawa yang hidup! 😅 Dari jauh dah kedengaran hiruk pikuk suara jeritan kecil pengunjung yang geli atau takut, tapi tetap tak lepaskan peluang nak tengok lebih dekat. Ada yang berani sentuh ular sawa, ada yang hanya mampu tengok dari jauh sambil tutup mata separuh. Memang happening habis! Yang paling kelakar tue, ada juga anak-anak yang berani pegang ular cuba mengusik ibu mereka, apa lagi, memang menjeritlah ibu nya tue, sebab geli dengan ular.. hihi
Selain daripada booth kami, pelbagai aktiviti lain turut memeriahkan suasana, antaranya pameran kebakaran, pertandingan mewarna, dan demonstrasi pemadaman api yang cukup menarik perhatian. Lepas tue, mana yang tak pernah merasai masakan air tangan daripada abang bomba, masa tuelah mereka dapat merasainya dengan kehadiran Fire Kitchen. Abang bomba kita nie bukan saja pakar dalam bidang kebombaan dan penyelamatan, tapi handal juga dalam bidang masakan.. Beruntung sungguh pada mereka yang pernah merasai hasil masakan abang bomba.
Kemuncak paling ditunggu-tunggu oleh semua pengunjung sudah pastinya acara cabutan bertuah!
Bayangkan satu kawasan besar yang penuh dengan pengunjung dan memegang tiket masing-masing, menunggu nombor bertuah diumumkan. Hadiah pun bukan calang-calang — ada barangan elektrik, peralatan dapur, dan yang paling “wow”, hadiah utama sebuah TV 60 inci bernilai lebih RM1000! Bila nombor pemenang utama diumumkan, suasana terus bertukar riuh. Semua bersorak gembira sambil meraikan pemenang bertuah. Senyuman di wajah dia masa tu — memang tak boleh digambarkan!
Hari itu bukan sekadar tentang acara dan hadiah, tapi lebih kepada suasana kekeluargaan dan semangat kebersamaan. Semua orang nampak gembira, saling bertegur sapa, dan menikmati setiap aktiviti yang disediakan. Kami dari Unit Pengurusan Pusat Sumber juga merasa sangat bangga dapat turut serta dalam program sebesar ini — bukan sahaja menyeronokkan, tapi juga penuh nilai ilmu dan kesedaran.
Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025 betul-betul meninggalkan kenangan manis buat kami semua. Dapat jumpa masyarakat, berkongsi ilmu, dan dalam masa yang sama bawa kegembiraan kepada pengunjung — itulah yang paling bermakna.
Apapun, jom kita tengok video nie dan sudi-sudikanlah subscribe, like dan share video saya nie yea...
📚 Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.
🔥 Kami di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa siap sedia setiap masa.
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal #BombaMalaysia #KarnivalBomba2025 #HariPencegahanKebakaran #Putrajaya #UnitPengurusanPusatSumber #JomBaca #BangsaMembacaBangsaBerjaya #FireSafetyDay
Assalamualaikum wbt...
Sudah lama saya tidak menulis di jurnal ini. Setiap kali saya cuba menaip, hati terasa berat, seolah-olah jari ini tidak mampu menterjemah apa yang terbuku di dada. Kehilangan orang tersayang membuatkan dunia terasa sunyi dan kosong — sepi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Hari-hari berlalu dengan rasa rindu yang tak pernah pudar. Ada masa, saya cuba sibukkan diri dengan rutin, namun di hujung hari tetap teringat pada wajah dan kenangan yang dulu mengisi ruang hidup ini. Setiap memori terasa begitu hidup, namun pada masa yang sama menyakitkan kerana saya tahu, ianya kini hanya tinggal kenangan. Dan setiap kali itulah, airmata ini selalu mengalir, mengenangkan kisah-kisah lalu.
Namun hari ini, saya cuba kuatkan diri untuk kembali menulis. Mungkin dengan menulis, saya boleh perlahan-lahan menyembuhkan hati yang luka. Saya percaya setiap kehilangan datang bersama hikmah, walau pun belum mampu saya fahami sepenuhnya. Mungkin menulis semula adalah langkah kecil untuk kembali mencari erti, untuk berdamai dengan rasa, dan untuk mengingat bahawa hidup ini masih perlu diteruskan.
Kehilangan ini benar-benar mengajar saya banyak perkara. Dulu saya sering berlumba dengan masa — sibuk dengan kerja, tugasan, dan urusan harian yang tidak pernah habis. Namun apabila seseorang yang saya sayang pergi, saya mula sedar bahawa masa bersama insan tersayang jauh lebih berharga daripada apa pun yang dunia boleh tawarkan.
Saya belajar untuk memperlahankan langkah. Tidak lagi terlalu mengejar kesempurnaan, sebaliknya belajar mensyukuri detik-detik kecil — minum secawan kopi di pagi hari, angin lembut yang menyapa, dan senyuman orang di sekeliling. Semua itu kini terasa lebih bermakna.
Kehilangan juga mengajar saya tentang erti ketabahan. Tidak mengapa untuk menangis, tidak mengapa untuk lemah, kerana daripada kelemahan itulah kita belajar untuk kembali kuat. Hidup ini bukan tentang melupakan, tetapi tentang belajar menerima dan meneruskan langkah dengan hati yang lebih lembut. Kadang-kadang saya terfikir, bagaimana agaknya saudara-saudara kita di Palestin melalui hari-hari mereka. Mereka kehilangan bukan seorang, tetapi berpuluh — malah ada yang kehilangan seluruh keluarga dalam sekelip mata. Namun mereka tetap kuat, tetap berdiri dengan penuh sabar dan redha. Melihat ketabahan mereka membuatkan saya malu pada diri sendiri. Dugaan saya tidaklah seberat mereka, tapi saya tetap merasa goyah. Dari situ saya belajar, bahawa kekuatan bukan diukur pada seberapa besar ujian yang datang, tetapi pada sejauh mana kita mampu bertahan dan terus percaya kepada ketentuan Allah SWT.
Mereka menjadi contoh nyata bahawa kesedihan juga boleh menjadi sumber kekuatan — bila hati berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Dan setiap kali saya rasa lemah, saya cuba ingat semula wajah-wajah tabah itu, agar saya juga terus belajar untuk kuat, walaupun perlahan.
Saya kini belajar untuk melihat hidup dengan pandangan mata yang berbeza — yang lebih menghargai kehadiran, lebih menghormati perpisahan, dan lebih menghargai setiap nafas yang masih diizinkan Allah SWT. Moga dengan catatan ini, saya terus kuat untuk melangkah dengan perlahan-lahan... satu hari pada satu masa.
Saya juga ingin memohon maaf kepada semua pembaca setia jurnal ini kerana dek dah lama saya tidak menulis, dan belum sempat mengumumkan nama pemenang bertuah untuk Top Commentator Bulanan. Sebenarnya, senarai pemenang sudah pun siap sejak beberapa bulan lalu, cuma saya masih mencari kekuatan untuk menulis entri khas tentangnya. Insha Allah, pada bulan depan saya akan umumkan semuanya — bermula dari bulan Ogos sehinggalah November.
Terima kasih pada awak semua kerana masih sudi membaca jurnal ini, walaupun saya sudah lama menyepikan diri. Sokongan dan kehadiran awak di ruangan ini amat saya hargai. Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk menghadapi setiap ujian hidup, dan terus menemukan cahaya dalam setiap kehilangan.
Semoga kita semua terus diberi kekuatan dan ketenangan dalam setiap perjalanan hidup. Moga hati kita sentiasa dilingkari kasih, dan langkah kita dipermudahkan oleh-Nya. Hingga kita bertemu lagi dalam entri seterusnya — dengan hati yang lebih tenang dan jiwa yang lebih kuat. 🌷
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal
Assalamualaikum wbt..
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjemput orang ramai hadir ke Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025! Jom ramai-ramai memeriahkan suasana karnival.
18 Oktober 2025 (Sabtu)
8.00 pagi – 1.00 tengah hari
Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Presint 7, PutrajayaPelbagai aktiviti menarik menanti anda!
Jom belajar berenang, demo pemadaman kebakaran, flying fox, kids on duty, pameran khas dan banyak lagi!
Untuk kanak-kanak – acara mewarna, bercerita, karaoke dan tiru gaya abang bomba!
Untuk dewasa – Fireflow Charge, Powderblast, Fireman Haul dan pelbagai cabaran menarik!
Masuk adalah PERCUMA!Bawa keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran — mari kita sama-sama berhibur sambil belajar keselamatan kebakaran!
Semua dijemput hadir!
Assalamualaikum wbt...
Maaf, sudah agak lama saya tidak menulis di jurnal ini. Setiap kali saya buka ruang kosong untuk menaip, tangan terasa kaku, hati jadi berat. Ada banyak perkara yang ingin dikongsikan, tapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Kadang-kadang saya biarkan sahaja, dengan alasan “nanti saya tulis”. Namun “nanti” itu berlarutan sehingga berminggu-minggu.
Sejujurnya, sejak kebelakangan ini, saya lebih banyak menyimpan cerita dalam hati. Bukan kerana tiada apa yang berlaku, tetapi kerana saya sendiri tidak cukup kuat untuk menulisnya. Setiap kali saya cuba mengingati, air mata akan lebih dahulu mengalir.
Dan hari ini, saya gagahkan diri untuk menulis. Kerana ada satu kisah yang terlalu besar, terlalu bermakna, dan terlalu menyakitkan untuk saya simpan seorang diri.
24 Julai yang lalu… tarikh yang saya takkan dapat dilupakan. Tarikh di mana saya kehilangan adik yang saya sayangi.
Hari itu, pada 24 Julai jam 6.10 petang, saya menerima panggilan daripada ummie. Dengan suara yang tersekat-sekat, ummie memberitahu bahawa adik sudah tiada dalam dunia ini. Saat itu, dunia saya seolah-olah gelap. Saya langsung tidak tahu bagaimana hendak menerima kenyataan tersebut. Ummie juga meminta saya segera ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk proses pengecaman mayat.
Lepas itu saya segera menelefon suami untuk ambil saya di pejabat. Dalam keadaan masih terkejut dan lemah, saya terus menghubungi dua orang adik perempuan yang berada di Kuala Lumpur untuk sama-sama pergi ke sana, tetapi saya minta mereka pergi dulu ke hospital memandangkan jarak mereka lebih dekat dengan kawasan Gombak. Suami tiba di Putrajaya sekitar pukul 7 malam, dan dengan sehelai sepinggang kami berdua memulakan perjalanan ke Kuala Lipis. Perjalanan malam itu terasa begitu panjang dan berat.
Sepanjang perjalanan, saya hanya termenung di kerusi sebelah pemandu. Air mata saya tidak henti-henti mengalir, hati saya berkecamuk. Jalan raya yang biasanya terasa dekat, malam itu seolah-olah tiada penghujungnya. Sesekali saya cuba menutup mata, tetapi bayangan wajah arwah sentiasa terlintas. Suami di sebelah hanya diam memandu, sesekali memandang saya dengan wajah simpati. Saya tahu dia juga kehilangan kata-kata, tidak tahu bagaimana mahu memujuk saya yang sedang dalam keadaan terkejut.
Setiap kali telefon bimbit saya berbunyi, hati saya jadi berdebar. Pesanan daripada ahli keluarga masuk satu demi satu, semuanya bercerita dengan nada sedih yang sama. Saya hanya mampu membaca tanpa membalas. Hati saya masih kaku, fikiran saya kosong, dan jiwa saya seolah-olah masih tidak mahu menerima kenyataan bahawa adik benar-benar sudah pergi. Kami tiba di hospital sekitar 11 malam, namun diberitahu bahawa proses pengecaman tidak dapat dilakukan kerana masa sudah terlalu lewat. Pegawai forensik hospital berasa bimbang andainya kami tidak dapat menahan sebak jika proses itu dijalankan pada malam tersebut. Kami diminta menunggu sehingga keesokan harinya.
Masa itu, kami tiba-tiba rasa kelu lidah, tak tahu nak buat apa. Hati kami kosong, fikiran bercelaru. Nasib baiklah makcik yang secara kebetulan baru saja sampai di Kuala Lumpur untuk ke rumah anaknya, iaitu sepupu saya. Bila makcik dapat tahu berita sedih ini, tanpa berlengah dia mengajak anaknya untuk terus ke hospital dan menemani saya serta adik-adik. Kehadiran mereka sedikit sebanyak menenangkan hati kami yang sedang dirundung duka.
Kemudian, kedua-dua adik perempuan saya pergi ke balai polis untuk buat laporan kematian. Sementara itu, saya bersama suami, makcik, dua orang sepupu dan anak saudara saya menunggu di bilik mayat. Sayu rasanya bila melihat anak saudara kecil saya memeluk erat beg galas kepunyaan arwah.
Anak saudara saya itu sememangnya amat rapat dengan arwah kerana sejak dia bayi lagi, arwahlah yang banyak membantu menjaganya. Ada masa mereka bergaduh kecil, tapi tidak lama kemudian akan berbaik semula. Arwah memang suka mengusik, apatah lagi anak saudara perempuan itu adalah satu-satunya anak saudara perempuan dalam keluarga kami — selebihnya semuanya lelaki.
Melihat dia memeluk beg galas itu membuatkan hati saya luluh. Bila saya bertanya perlahan, “Mana Aboh Wan?” dia hanya menjawab dengan suara yang tersekat, “Aboh Wan dah takde…” dan selepas itu air matanya terus mengalir deras.
Saya cepat-cepat memeluknya, menenangkan hatinya yang masih kecil untuk memahami sebuah kehilangan yang begitu besar. Saya bisikkan kepadanya, “Aina kena banyak-banyak berdoa untuk Aboh Wan, ya…” Dia hanya mengangguk, masih dalam tangisan, dan ketika itu saya sendiri tidak dapat menahan sebak. Hati saya benar-benar luluh, mengenang betapa besar kasih sayang antara seorang pakcik dengan anak saudara, kini tinggal hanya dalam kenangan.
Saat itu, saya benar-benar tersedar… bukan saya seorang yang kehilangan, tetapi semua orang yang pernah disentuh dengan kasih sayang arwah turut merasakan kekosongan yang sama.
Masih teringat pada wajah makcik saya, Bibyan dan dua orang sepupu saya yang cuba tersenyum di hadapan kami walaupun jelas mata mereka turut berkaca. Mereka bertiga menemani kami sepanjang malam, memberi kata-kata semangat, dan memastikan kami tidak bersendirian menanggung rasa kehilangan. Terima kasih Bibyan, Ain dan adik, kerana sudi ada bersama kami di saat paling sukar dalam hidup kami.
Keesokan paginya, barulah proses pengecaman dijalankan, diikuti dengan bedah siasat dan selepas itu, dimandikan serta dikafankan. Hati saya luluh saat diminta mengesahkan bahawa itu adalah jasad adik yang pernah saya jaga sejak kecil dan ketawa bersama. Beratnya ujian ini, hanya Allah yang tahu. Tapi saya kuatkan juga semangat demi adik-adik yang lain, yang turut menangis kerana kehilangan abang mereka.
Suami serta adik-adik ipar lelaki turut membantu dalam urusan mandikan jenazah, dan bagi mereka inilah bakti jariah yang dapat dilakukan untuk arwah adik. Saya melihat wajah mereka penuh kesayuan, namun dalam masa yang sama mereka tenang kerana dapat memberi penghormatan terakhir dengan cara itu.
Saat jenazah sedang dimandikan dan dikafankan, kami para wanita pula hanya mampu berdiri di luar bilik forensik. Sesekali terdengar esakan kecil yang cuba ditahan, ada juga yang saling berpegangan tangan untuk menguatkan hati. Walaupun tidak dapat berada di dalam, doa kami tidak putus-putus mengiringi setiap langkah urusan itu. Hati kami terasa luluh, namun kami cuba redha bahawa inilah detik perpisahan yang telah Allah tentukan.. Hati ini juga luluh melihat tubuh yang pernah ceria dan penuh dengan senyuman itu kini terbujur kaku dalam balutan kain putih. Air mata saya jatuh tanpa henti, terasa sukar untuk menerima bahawa inilah kali terakhir saya dapat melihat adik dengan mata kepala sendiri.
Tidak lama kemudian, jenazah dibawa keluar dari bilik forensik untuk dimasukkan ke dalam van jenazah. Kami sekeluarga mengiringi perjalanan itu dengan doa yang tidak putus-putus, memohon agar Allah menempatkan arwah di tempat yang sebaik-baiknya.
Perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bermula sekitar jam 11 pagi. Sepanjang perjalanan, suasana dalam hati setiap daripada kami hanya dipenuhi dengan rasa kehilangan yang mendalam. Sesekali saya terbayang memori-memori kecil bersama arwah — gurau senda, senyuman, dan kebaikan hatinya. Semua itu terasa terlalu cepat direnggut daripada kami.
Saat jenazah arwah tiba di rumah, suasana menjadi pilu. Ramai ahli keluarga dan sanak saudara sudah menunggu. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Rumah dipenuhi dengan suara iringan doa dan bacaan Al-Fatihah, dan mereka turut merasa kehilangan yang terlalu mendalam.
Terutama ummie dan abah saya… mereka masih lagi dalam keadaan terkejut, seakan-akan tidak percaya bahawa anak kesayangan telah pergi buat selama-lamanya. Ummie kelihatan lemah, air matanya tidak berhenti mengalir sejak menerima berita itu. Abah pula hanya mampu duduk terdiam, sesekali menghela nafas panjang sambil menahan sebak di dada. Wajah mereka benar-benar menggambarkan betapa beratnya kehilangan seorang anak yang menjadi penyejuk mata dan penghibur hati.
Kami adik-beradik yang lain dan para menantu cuba menenangkan ummie dan abah, memegang tangan mereka, memeluk bahu mereka, sambil turut sama menangis. Namun dalam hati, kami sendiri sebenarnya tidak mampu menahan rasa sebak. Hanya doa dan kata-kata lembut yang mampu kami ucapkan, walaupun kami tahu tiada apa yang dapat menghapuskan rasa perit yang sedang mereka tanggung saat itu.
Arwah kemudian disolatkan di masjid pada jam 5.00 petang, sebelum selamat disemadikan di tanah perkuburan kira-kira jam 5.20 petang. Saat tanah terakhir ditimbus, semua yang hadir hanya mampu mengalirkan air mata. Terasa benar kehilangan itu, seolah-olah sebahagian daripada diri kami juga turut pergi bersama arwah.
Sehari selepas arwah adik disemadikan, saya masih lagi dalam keadaan terkejut. Air mata tidak berhenti mengalir, terutama setiap kali pandangan saya jatuh pada kerusi makan yang arwah selalu duduk.
Betapa kuatnya memori itu datang menyerbu… arwah selalu tunggu saya untuk makan bersama-sama. Walaupun makanan sudah tersedia, arwah sanggup berlapar, sanggup menunggu saya bersiap. Katanya, lebih seronok makan bila ada teman. Dan bila kami duduk makan bersama-sama, suasana akan penuh dengan cerita, gurauan dan gelak tawa.
Kerusi itu kini kosong, tapi setiap kali saya pandang, saya masih terbayang wajahnya, senyumnya, dan suara tawanya. Hati terasa bagai dirobek kerana menyedari kenangan itu kini hanya tinggal dalam ingatan.
Anak-anak saudara kami yang lain, bermain seperti biasa tetapi jelas kelihatan riak wajah mereka tidak ceria. Lebih-lebih lagi anak saudara perempuan, sejak semalam dia sering memakai kopiah kepunyaan arwah, dan tidur berbantalkan beg galas yang arwah gunakan pada hari kejadian. Seolah-olah setiap helaian pakaian dan setiap barang arwah menjadi pengubat rindunya.
Anak-anak saudara lelaki pula nampak sugul, tidak banyak bercakap seperti selalu. Mereka hanya duduk termenung sesekali, seakan masih cuba memahami bahawa “Aboh Wan” mereka sudah tiada lagi. Petang itu, mereka semua ikut ke kubur arwah. Ada yang duduk diam, ada yang membaca doa perlahan, dan ada juga yang hanya menatap batu nisan tanpa kata-kata. Melihat mereka begitu, hati saya semakin sebak. Terlalu besar kesan kehilangan ini, bukan hanya pada kami sebagai keluarga, tetapi juga pada jiwa-jiwa kecil yang rapat dengan arwah. Wajah mereka kelihatan sayu, mungkin terkenang pada Aboh Wan yang selama ini menjadi tempat mereka bermain, bergurau, malah kadang-kadang mengusik sampai bergaduh kecil. Tetapi itu semua hanyalah gurauan manja seorang pakcik dengan anak-anak saudaranya. Kini, tiada lagi suara usikan itu. Yang tinggal hanyalah rindu yang tidak terbalas.
Namun sebenarnya, saya tidak tahu langsung tentang kemalangan itu pada hari kejadian. Saya hanya mengetahuinya pada keesokan harinya, selepas adik saya kongsikan berita tersebut melalui WhatsApp.
Rupanya itulah kemalangan jalan raya yang berlaku di Sungai Koyan. Antara mangsa yang terlibat ialah arwah adik saya sendiri. Lebih memilukan, seorang wanita berusia 50-an yang turut terlibat dalam kemalangan itu juga meninggal dunia. Dua nyawa pergi serentak pada hari yang sama… benar-benar mengajar saya bahawa hidup ini terlalu singkat.
Saya bukan sedih kerana cara arwah pergi. Saya percaya, semua itu sudah ditentukan dalam Loh Mahfuz. Kita sendiri tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti. Cuma doa saya, semoga Allah jemput kita semua dalam keadaan yang terbaik.
Apa yang betul-betul buat saya sebak… adalah memori terakhir arwah dengan saya. Minggu terakhir sebelum pemergiannya, arwah sempat belikan sayur kegemaran saya.
Masa itu, ummie saya sempat bertanya, “Kenapa beli awal sayur ni? Kak Nur kan nak balik rumah minggu depan, lambat lagi Kak Nur nak balik…”
Arwah hanya tersenyum dan menjawab, “Takpe lah beli siap-siap. Kak Nur kan nak balik rumah, jadi senang… takyah beli lambat-lambat.”
Siapa sangka, kata-kata yang nampak biasa itu sebenarnya itu adalah hadiah terakhir daripada dia untuk saya. Sayur yang nampak biasa pada orang lain, tapi terlalu besar maknanya buat saya.
Malam selepas pengebumian arwah, ummie serahkan kepada saya dua kotak berisi sayuran kegemaran saya — salad dan buah tomato ceri. Kata ummie dengan suara yang tenang tetapi jelas kedengaran sebaknya, “Ini Iwan belikan khas untuk Nur… dia tahu Nur suka sangat makan sayur nie dan dia tau Nur nak balik rumah minggu depan.”
Seketika saya terdiam. Hati terasa sebak dan sedih sangat apabila melihat pemberian kecil itu, namun nilainya terlalu besar buat saya. Air mata saya kembali mengalir tanpa henti. Saya memegang kotak sayur itu seolah-olah sedang memegang kenangan terakhir antara saya dan arwah. Setiap helaian salad, setiap butir tomato ceri terasa seakan membawa suara dan senyuman dia bersama. Malam tue, saya makan pemberian arwah dengan linangan airmata, dan hati nie tak berhenti mendoakan untuk arwah.
Ummie pula cuba menahan dirinya supaya kelihatan kuat di hadapan anak-anak, tetapi saya tahu betapa dalamnya luka yang dia sembunyikan. Wajahnya nampak letih, matanya merah, namun dia tetap menyerahkan pemberian itu dengan penuh lembut, seolah-olah mahu saya menghargai kenangan kecil yang ditinggalkan oleh adik.
Sayuran itu bukan sekadar makanan, tetapi tanda kasih seorang adik yang begitu mengambil berat tentang kakaknya. Sesuatu yang nampak remeh pada orang lain, tapi menjadi memori paling berharga untuk saya kenang sampai bila-bila.
Kini saya masih berada dalam fasa penerimaan. Malam-malam saya masih ditemani air mata yang jatuh tanpa henti. Setiap kali tiba waktu sunyi, wajah terakhir arwah tetap saya tatap… seakan-akan masih ada di hadapan mata. Saya jadikan wajah itu sebagai penawar, ubat yang menenangkan hati walaupun jiwa saya masih terasa kosong.
Setiap kali teringat kata-kata dan senyuman arwah di foto yang terakhir, hati saya menjadi sebak. Saya terbayang betapa arwah masih sempat fikirkan kakaknya, walaupun tanpa disedari, itu adalah hari-hari terakhirnya di dunia ini. Sekarang, sayur itu bukan sekadar makanan lagi. Ia jadi satu memori, satu kenangan terakhir yang akan saya simpan erat dalam hati.
Ya Allah, Engkau lebih menyayanginya. Aku redha dengan pemergiannya. Aku titipkan doa, semoga roh adikku dan juga wanita yang turut menjadi mangsa kemalangan itu tenang di sisi-Mu, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin.. Aamiin.. Aamiin Ya Rabbal Alaamiin...
Al-Fatihah buat arwah adikku…
Adakah awak atau anak-anak atau saudara mara yang lahir pada 31 Ogos atau 16 September ? Jom daftarkan diri awak sekarang untuk berpeluang meraikan Anak Merdeka Malaysia bersama Arkib Negara Malaysia!
📌 Pendaftaran kini dibuka!
📍 Terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang lahir pada 31 Ogos dan 16 September dari semua lapisan umur!
📋 Cara Pendaftaran:
Pendaftaran mudah di hujung jari. Hanya imbas kod QR yang tertera atau layari pautan yang disediakan.
🎁 Peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik, menerima cenderahati istimewa, dan diraikan dalam acara rasmi peringkat kebangsaan!
📣 Sebarkan berita ini dan jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada legasi merdeka!
📍INSTAGRAM
https://www.instagram.com/p/DMbl7HBStMt/?igsh=amppNTRxZGkyNWtq
📍TIKTOK
https://vt.tiktok.com/ZSBoLggkn/
📍X
https://x.com/myarkibnegara/status/1947824272665374889?s=46
https://www.instagram.com/p/DMbl7HBStMt/?igsh=amppNTRxZGkyNWtq
📍TIKTOK
https://vt.tiktok.com/ZSBoLggkn/
📍X
https://x.com/myarkibnegara/status/1947824272665374889?s=46
Jomlah join... mana tau ada rezeki awak untuk menang...
#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal #SayaAnakMerdeka #SambutanHariKebangsaan #myarkibnegara #AAD #MalaysiaMADANI #KembaraPerpaduan #HarmoniMADANI #RancakkanMADANI
Assalamualaikum wbt...
Nak bantu anak belajar dengan lebih mudah dan berkesan?
Jom ulangkaji Bersama MyGuru yang kini boleh diakses secara percuma melalui portal u-Pustaka – platform pendidikan digital yang menyokong pembelajaran murid sekolah rendah dan menengah.
Belajar jadi mudah bersama MyGuru di u-Pustaka!
Nota pembelajaran 
Latihan & kuiz interaktif 
Video berdasarkan silibus sekolah
Daftar di www.u-pustaka.gov.my dan mula belajar hari ini. Jom sertai kami pada ;
24 Julai 2025 (Khamis)
10. 00 pagi - 12.00 tengah hari
Puan Nur Lailatul Akma Zainal AbidinKetua Jabatan Learning Port Sdn. Bhd.
Klik pautan Google Meet untuk penyertaan 

Semua boleh join dan semoga program ini memberi manfaat kepada semua terutama anak-anak yang masih belajar.
Semalam, hati saya bagai retak apabila menerima berita sedih. Suami kepada seorang rakan sekerja telah pergi meninggalkan dunia ini akibat kemalangan di Highway MEX, Putrajaya kira-kira pada jam 6 petang semalam. Berita itu datang tanpa amaran, seperti angin yang menggoncang jiwa. Kadang-kadang, kita tidak sedar betapa rapuhnya hidup ini – hanya satu detik, segalanya boleh berubah.
Pagi tadi, post-mortem hanya dapat dijalankan sekitar jam 11.30 pagi, kerana ada hal tertentu yang tak dapat saya nak diceritakan. Apa yang terlintas di fikiran adalah, alangkah baiknya jika urusan jenazah tidak ditangguhkan terlalu lama. Setiap kali mendengar berita sebegini, hati saya sebak memikirkan betapa pentingnya kita memuliakan jenazah dengan menyegerakan urusan pengebumian.
Pagi ini, saya terdiam sejenak. Jika diikutkan hati nie, saya nak menziarahi rakan saya di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya. Tapi kaki saya terasa kaku, langkah saya terhenti. Ingatan saya melayang pada arwah bos saya yang telah pergi hampir dua tahun lalu. Ketika itu, saya tidak cukup kuat untuk menahan sebak, apatah lagi hari ini jika melihat rakan saya menangis memeluk pilu kerana kehilangan suami tercinta.
Saya tidak sanggup membayangkan wajah anak-anak perempuan yang masih kecil – kembar seiras yang baru 9 bulan melihat dunia – kini harus membesar tanpa belaian seorang ayah. Hati saya luluh memikirkannya.
Saya juga sering berpesan kepada suami dan keluarga,
“Jika satu hari nanti saya dijemput pergi, kebumikanlah saya di mana nafas terakhir saya terhenti. Jangan tangguh, jangan susahkan urusan.”
Kerana akhirnya, kita hanyalah seorang pengembara di dunia yang sementara. Jasad kita tidak meminta apa-apa selain untuk dilepaskan kembali dengan doa dan keredhaan orang yang ditinggalkan.
Hidup ini terlalu singkat untuk kita lengahkan kata sayang. Terlalu rapuh untuk kita abaikan orang-orang yang kita cinta. Kita tidak pernah tahu, apakah nafas ini akan disambung untuk esok atau dihentikan dalam sekelip mata.
“Ya Allah, ampunilah segala dosanya, lapangkan kuburnya, dan kurniakan syurga-Mu yang indah untuknya. Berilah kekuatan kepada keluarganya, agar mereka mampu menerima ujian-Mu dengan tabah.”
Setiap kali mendengar berita kematian, saya selalu ingatkan dalam hati bahawa dunia ini hanyalah persinggahan. Hari ini saya menaip, esok mungkin nama saya pula disebut dalam doa orang lain. Ingatlah juga untuk lebih menghargai masa bersama keluarga. Kita tidak tahu bilakah kali terakhir kita dapat berjumpa, berbicara, atau tersenyum bersama orang yang kita sayang. Semoga kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah
Subscribe to:
Comments (Atom)

.png)
Social Icons