Catatan 24 Julai 2025 – Kenangan terakhir

Monday, September 08, 2025


Assalamualaikum wbt...
Maaf, sudah agak lama saya tidak menulis di jurnal ini. Setiap kali saya buka ruang kosong untuk menaip, tangan terasa kaku, hati jadi berat. Ada banyak perkara yang ingin dikongsikan, tapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Kadang-kadang saya biarkan sahaja, dengan alasan “nanti saya tulis”. Namun “nanti” itu berlarutan sehingga berminggu-minggu.

Sejujurnya, sejak kebelakangan ini, saya lebih banyak menyimpan cerita dalam hati. Bukan kerana tiada apa yang berlaku, tetapi kerana saya sendiri tidak cukup kuat untuk menulisnya. Setiap kali saya cuba mengingati, air mata akan lebih dahulu mengalir.

Dan hari ini, saya gagahkan diri untuk menulis. Kerana ada satu kisah yang terlalu besar, terlalu bermakna, dan terlalu menyakitkan untuk saya simpan seorang diri.

24 Julai yang lalu… tarikh yang saya takkan dapat dilupakan. Tarikh di mana saya kehilangan adik yang saya sayangi.

Hari itu, pada 24 Julai jam 6.10 petang, saya menerima panggilan daripada ummie. Dengan suara yang tersekat-sekat, ummie memberitahu bahawa adik sudah tiada dalam dunia ini. Saat itu, dunia saya seolah-olah gelap. Saya langsung tidak tahu bagaimana hendak menerima kenyataan tersebut. Ummie juga meminta saya segera ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk proses pengecaman mayat.

Lepas itu saya segera menelefon suami untuk ambil saya di pejabat. Dalam keadaan masih terkejut dan lemah, saya terus menghubungi dua orang adik perempuan yang berada di Kuala Lumpur untuk sama-sama pergi ke sana, tetapi saya minta mereka pergi dulu ke hospital memandangkan jarak mereka lebih dekat dengan kawasan Gombak. Suami tiba di Putrajaya sekitar pukul 7 malam, dan dengan sehelai sepinggang kami berdua memulakan perjalanan ke Kuala Lipis. Perjalanan malam itu terasa begitu panjang dan berat.

Sepanjang perjalanan, saya hanya termenung di kerusi sebelah pemandu. Air mata saya tidak henti-henti mengalir, hati saya berkecamuk. Jalan raya yang biasanya terasa dekat, malam itu seolah-olah tiada penghujungnya. Sesekali saya cuba menutup mata, tetapi bayangan wajah arwah sentiasa terlintas. Suami di sebelah hanya diam memandu, sesekali memandang saya dengan wajah simpati. Saya tahu dia juga kehilangan kata-kata, tidak tahu bagaimana mahu memujuk saya yang sedang dalam keadaan terkejut.

Setiap kali telefon bimbit saya berbunyi, hati saya jadi berdebar. Pesanan daripada ahli keluarga masuk satu demi satu, semuanya bercerita dengan nada sedih yang sama. Saya hanya mampu membaca tanpa membalas. Hati saya masih kaku, fikiran saya kosong, dan jiwa saya seolah-olah masih tidak mahu menerima kenyataan bahawa adik benar-benar sudah pergi. Kami tiba di hospital sekitar 11 malam, namun diberitahu bahawa proses pengecaman tidak dapat dilakukan kerana masa sudah terlalu lewat. Pegawai forensik hospital berasa bimbang andainya kami tidak dapat menahan sebak jika proses itu dijalankan pada malam tersebut. Kami diminta menunggu sehingga keesokan harinya.

Masa itu, kami tiba-tiba rasa kelu lidah, tak tahu nak buat apa. Hati kami kosong, fikiran bercelaru. Nasib baiklah makcik yang secara kebetulan baru saja sampai di Kuala Lumpur untuk ke rumah anaknya, iaitu sepupu saya. Bila makcik dapat tahu berita sedih ini, tanpa berlengah dia mengajak anaknya untuk terus ke hospital dan menemani saya serta adik-adik. Kehadiran mereka sedikit sebanyak menenangkan hati kami yang sedang dirundung duka.

Kemudian, kedua-dua adik perempuan saya pergi ke balai polis untuk buat laporan kematian. Sementara itu, saya bersama suami, makcik, dua orang sepupu dan anak saudara saya menunggu di bilik mayat. Sayu rasanya bila melihat anak saudara kecil saya memeluk erat beg galas kepunyaan arwah.

Anak saudara saya itu sememangnya amat rapat dengan arwah kerana sejak dia bayi lagi, arwahlah yang banyak membantu menjaganya. Ada masa mereka bergaduh kecil, tapi tidak lama kemudian akan berbaik semula. Arwah memang suka mengusik, apatah lagi anak saudara perempuan itu adalah satu-satunya anak saudara perempuan dalam keluarga kami — selebihnya semuanya lelaki.

Melihat dia memeluk beg galas itu membuatkan hati saya luluh. Bila saya bertanya perlahan, “Mana Aboh Wan?” dia hanya menjawab dengan suara yang tersekat, “Aboh Wan dah takde…” dan selepas itu air matanya terus mengalir deras.

Saya cepat-cepat memeluknya, menenangkan hatinya yang masih kecil untuk memahami sebuah kehilangan yang begitu besar. Saya bisikkan kepadanya, “Aina kena banyak-banyak berdoa untuk Aboh Wan, ya…” Dia hanya mengangguk, masih dalam tangisan, dan ketika itu saya sendiri tidak dapat menahan sebak. Hati saya benar-benar luluh, mengenang betapa besar kasih sayang antara seorang pakcik dengan anak saudara, kini tinggal hanya dalam kenangan.

Saat itu, saya benar-benar tersedar… bukan saya seorang yang kehilangan, tetapi semua orang yang pernah disentuh dengan kasih sayang arwah turut merasakan kekosongan yang sama.

Masih teringat pada wajah makcik saya, Bibyan dan dua orang sepupu saya yang cuba tersenyum di hadapan kami walaupun jelas mata mereka turut berkaca. Mereka bertiga menemani kami sepanjang malam, memberi kata-kata semangat, dan memastikan kami tidak bersendirian menanggung rasa kehilangan. Terima kasih Bibyan, Ain dan adik, kerana sudi ada bersama kami di saat paling sukar dalam hidup kami.

Keesokan paginya, barulah proses pengecaman dijalankan, diikuti dengan bedah siasat dan selepas itu, dimandikan serta dikafankan. Hati saya luluh saat diminta mengesahkan bahawa itu adalah jasad adik yang pernah saya jaga sejak kecil dan ketawa bersama. Beratnya ujian ini, hanya Allah yang tahu. Tapi saya kuatkan juga semangat demi adik-adik yang lain, yang turut menangis kerana kehilangan abang mereka. 

Suami serta adik-adik ipar lelaki turut membantu dalam urusan mandikan jenazah, dan bagi mereka inilah bakti jariah yang dapat dilakukan untuk arwah adik. Saya melihat wajah mereka penuh kesayuan, namun dalam masa yang sama mereka tenang kerana dapat memberi penghormatan terakhir dengan cara itu.

Saat jenazah sedang dimandikan dan dikafankan, kami para wanita pula hanya mampu berdiri di luar bilik forensik. Sesekali terdengar esakan kecil yang cuba ditahan, ada juga yang saling berpegangan tangan untuk menguatkan hati. Walaupun tidak dapat berada di dalam, doa kami tidak putus-putus mengiringi setiap langkah urusan itu. Hati kami terasa luluh, namun kami cuba redha bahawa inilah detik perpisahan yang telah Allah tentukan.. Hati ini juga luluh melihat tubuh yang pernah ceria dan penuh dengan senyuman itu kini terbujur kaku dalam balutan kain putih. Air mata saya jatuh tanpa henti, terasa sukar untuk menerima bahawa inilah kali terakhir saya dapat melihat adik dengan mata kepala sendiri.

Tidak lama kemudian, jenazah dibawa keluar dari bilik forensik untuk dimasukkan ke dalam van jenazah. Kami sekeluarga mengiringi perjalanan itu dengan doa yang tidak putus-putus, memohon agar Allah menempatkan arwah di tempat yang sebaik-baiknya.

Perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bermula sekitar jam 11 pagi. Sepanjang perjalanan, suasana dalam hati setiap daripada kami hanya dipenuhi dengan rasa kehilangan yang mendalam. Sesekali saya terbayang memori-memori kecil bersama arwah — gurau senda, senyuman, dan kebaikan hatinya. Semua itu terasa terlalu cepat direnggut daripada kami.

Saat jenazah arwah tiba di rumah, suasana menjadi pilu. Ramai ahli keluarga dan sanak saudara sudah menunggu. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Rumah dipenuhi dengan suara iringan doa dan bacaan Al-Fatihah, dan mereka turut merasa kehilangan yang terlalu mendalam.

Terutama ummie dan abah saya… mereka masih lagi dalam keadaan terkejut, seakan-akan tidak percaya bahawa anak kesayangan telah pergi buat selama-lamanya. Ummie kelihatan lemah, air matanya tidak berhenti mengalir sejak menerima berita itu. Abah pula hanya mampu duduk terdiam, sesekali menghela nafas panjang sambil menahan sebak di dada. Wajah mereka benar-benar menggambarkan betapa beratnya kehilangan seorang anak yang menjadi penyejuk mata dan penghibur hati.

Kami adik-beradik yang lain dan para menantu cuba menenangkan ummie dan abah, memegang tangan mereka, memeluk bahu mereka, sambil turut sama menangis. Namun dalam hati, kami sendiri sebenarnya tidak mampu menahan rasa sebak. Hanya doa dan kata-kata lembut yang mampu kami ucapkan, walaupun kami tahu tiada apa yang dapat menghapuskan rasa perit yang sedang mereka tanggung saat itu.

Arwah kemudian disolatkan di masjid pada jam 5.00 petang, sebelum selamat disemadikan di tanah perkuburan kira-kira jam 5.20 petang. Saat tanah terakhir ditimbus, semua yang hadir hanya mampu mengalirkan air mata. Terasa benar kehilangan itu, seolah-olah sebahagian daripada diri kami juga turut pergi bersama arwah.

Sehari selepas arwah adik disemadikan, saya masih lagi dalam keadaan terkejut. Air mata tidak berhenti mengalir, terutama setiap kali pandangan saya jatuh pada kerusi makan yang arwah selalu duduk.

Betapa kuatnya memori itu datang menyerbu… arwah selalu tunggu saya untuk makan bersama-sama. Walaupun makanan sudah tersedia, arwah sanggup berlapar, sanggup menunggu saya bersiap. Katanya, lebih seronok makan bila ada teman. Dan bila kami duduk makan bersama-sama, suasana akan penuh dengan cerita, gurauan dan gelak tawa.

Kerusi itu kini kosong, tapi setiap kali saya pandang, saya masih terbayang wajahnya, senyumnya, dan suara tawanya. Hati terasa bagai dirobek kerana menyedari kenangan itu kini hanya tinggal dalam ingatan.

Anak-anak saudara kami yang lain, bermain seperti biasa tetapi jelas kelihatan riak wajah mereka tidak ceria. Lebih-lebih lagi anak saudara perempuan, sejak semalam dia sering memakai kopiah kepunyaan arwah, dan tidur berbantalkan beg galas yang arwah gunakan pada hari kejadian. Seolah-olah setiap helaian pakaian dan setiap barang arwah menjadi pengubat rindunya.

Anak-anak saudara lelaki pula nampak sugul, tidak banyak bercakap seperti selalu. Mereka hanya duduk termenung sesekali, seakan masih cuba memahami bahawa “Aboh Wan” mereka sudah tiada lagi. Petang itu, mereka semua ikut ke kubur arwah. Ada yang duduk diam, ada yang membaca doa perlahan, dan ada juga yang hanya menatap batu nisan tanpa kata-kata. Melihat mereka begitu, hati saya semakin sebak. Terlalu besar kesan kehilangan ini, bukan hanya pada kami sebagai keluarga, tetapi juga pada jiwa-jiwa kecil yang rapat dengan arwah. Wajah mereka kelihatan sayu, mungkin terkenang pada Aboh Wan yang selama ini menjadi tempat mereka bermain, bergurau, malah kadang-kadang mengusik sampai bergaduh kecil. Tetapi itu semua hanyalah gurauan manja seorang pakcik dengan anak-anak saudaranya. Kini, tiada lagi suara usikan itu. Yang tinggal hanyalah rindu yang tidak terbalas.

Namun sebenarnya, saya tidak tahu langsung tentang kemalangan itu pada hari kejadian. Saya hanya mengetahuinya pada keesokan harinya, selepas adik saya kongsikan berita tersebut melalui WhatsApp.

Rupanya itulah kemalangan jalan raya yang berlaku di Sungai Koyan. Antara mangsa yang terlibat ialah arwah adik saya sendiri. Lebih memilukan, seorang wanita berusia 50-an yang turut terlibat dalam kemalangan itu juga meninggal dunia. Dua nyawa pergi serentak pada hari yang sama… benar-benar mengajar saya bahawa hidup ini terlalu singkat.

Saya bukan sedih kerana cara arwah pergi. Saya percaya, semua itu sudah ditentukan dalam Loh Mahfuz. Kita sendiri tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti. Cuma doa saya, semoga Allah jemput kita semua dalam keadaan yang terbaik.

Apa yang betul-betul buat saya sebak… adalah memori terakhir arwah dengan saya. Minggu terakhir sebelum pemergiannya, arwah sempat belikan sayur kegemaran saya.

Masa itu, ummie saya sempat bertanya, “Kenapa beli awal sayur ni? Kak Nur kan nak balik rumah minggu depan, lambat lagi Kak Nur nak balik…”

Arwah hanya tersenyum dan menjawab, “Takpe lah beli siap-siap. Kak Nur kan nak balik rumah, jadi senang… takyah beli lambat-lambat.”

Siapa sangka, kata-kata yang nampak biasa itu sebenarnya itu adalah hadiah terakhir daripada dia untuk saya. Sayur yang nampak biasa pada orang lain, tapi terlalu besar maknanya buat saya.

Malam selepas pengebumian arwah, ummie serahkan kepada saya dua kotak berisi sayuran kegemaran saya — salad dan buah tomato ceri. Kata ummie dengan suara yang tenang tetapi jelas kedengaran sebaknya, “Ini Iwan belikan khas untuk Nur… dia tahu Nur suka sangat makan sayur nie dan dia tau Nur nak balik rumah minggu depan.”

Seketika saya terdiam. Hati terasa sebak dan sedih sangat apabila melihat pemberian kecil itu, namun nilainya terlalu besar buat saya. Air mata saya kembali mengalir tanpa henti. Saya memegang kotak sayur itu seolah-olah sedang memegang kenangan terakhir antara saya dan arwah. Setiap helaian salad, setiap butir tomato ceri terasa seakan membawa suara dan senyuman dia bersama. Malam tue, saya makan pemberian arwah dengan linangan airmata, dan hati nie tak berhenti mendoakan untuk arwah.

Ummie pula cuba menahan dirinya supaya kelihatan kuat di hadapan anak-anak, tetapi saya tahu betapa dalamnya luka yang dia sembunyikan. Wajahnya nampak letih, matanya merah, namun dia tetap menyerahkan pemberian itu dengan penuh lembut, seolah-olah mahu saya menghargai kenangan kecil yang ditinggalkan oleh adik.

Sayuran itu bukan sekadar makanan, tetapi tanda kasih seorang adik yang begitu mengambil berat tentang kakaknya. Sesuatu yang nampak remeh pada orang lain, tapi menjadi memori paling berharga untuk saya kenang sampai bila-bila.

Kini saya masih berada dalam fasa penerimaan. Malam-malam saya masih ditemani air mata yang jatuh tanpa henti. Setiap kali tiba waktu sunyi, wajah terakhir arwah tetap saya tatap… seakan-akan masih ada di hadapan mata. Saya jadikan wajah itu sebagai penawar, ubat yang menenangkan hati walaupun jiwa saya masih terasa kosong.

Setiap kali teringat kata-kata dan senyuman arwah di foto yang terakhir, hati saya menjadi sebak. Saya terbayang betapa arwah masih sempat fikirkan kakaknya, walaupun tanpa disedari, itu adalah hari-hari terakhirnya di dunia ini. Sekarang, sayur itu bukan sekadar makanan lagi. Ia jadi satu memori, satu kenangan terakhir yang akan saya simpan erat dalam hati.

Ya Allah, Engkau lebih menyayanginya. Aku redha dengan pemergiannya. Aku titipkan doa, semoga roh adikku dan juga wanita yang turut menjadi mangsa kemalangan itu tenang di sisi-Mu, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin.. Aamiin.. Aamiin Ya Rabbal Alaamiin...

Al-Fatihah buat arwah adikku…

#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal

10 comments

  1. Innalillahiwainnailaihirajiun. Semoga Allah tempatkan arwah bersama orang yang soleh.

    ReplyDelete
  2. Salam takziah buat keluarga. menerima pemergian yang tiba-tiba memang amat menyakitkan. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman

    ReplyDelete
  3. salam takziah, semoga arwah adik SR ditempatkan di kalangan ornag yang beriman..
    sebaya dengan linda umur arwah, betul lah ajal maut, jodoh pertemuan. semua di tangan Tuhan, semoga kita menggunakan masa yang ada dengan berfaedah...insya-Allah

    ReplyDelete
  4. Inna lillah wa inna ilayhi roji’un
    Semoga Allah mengampuni dan merahmati roh Allahyarham.

    Salam takziah buat Shikin sekeluarga.
    Moga Allah kurniakan ketabahan dan kekuatan.

    Sebak saya baca catatan ni.
    Sayur kegemaran akan menjadi sayur kenangan terakhir yang indah.

    ReplyDelete
  5. Al-Fatihah..salam takziah buat Kin dan keluarga..moga adik ditempatkan bersama para solihin

    ReplyDelete
  6. salam takziah untuk kak shikin sekeluarga.. semoga kak shikin tabah dalam menghadapi ujian ini.. semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.. ameen..

    ReplyDelete
  7. Al Fatihah buat adik akak... kita semua milik Dia yang Esa.. Allah lebih menyanyanginya kak.. Semoga arwah adik akak dilapangkan kuburnya, diampunkan segala dosanya. Al Fatihah.

    Takpa, slow slow ambil masa. Kita redha cuma untuk penerimaan sepenuhnya tu ambil masa...Sedih baca part belikan Sayur tu..🥺

    ReplyDelete
  8. Salam takziah, dariNya kita datang kepadaNya kita kembali. Saya baca hingga akhir , turut berduka, sedih dan pilu..sakit sebenarnya kehilangan, kehilangan yag tida kunjung datang..Al fatihah buat arwah Wan Ahmad..Ya Allah ampuni arwah ini tempatkan arwah di tempat orang yang beriman..Aamiin

    ReplyDelete
  9. salam takziah kin, kakmieja turut terasa sebak tanpa sedar mengalir air mata

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧